Buletin

RIDER FOODPANDA KENA GAME, 40 MINIT TUNGGU KAT JIRAT CINA

Penghantar makanan ataupun barangan merupakan antara barisan hadapan yang perlu berdepan dengan pelbagai perangai para pelanggan.

Bahkan, para penghantar makanan ini terpaksa berdepan sikap segelintir masyarakat yang tidak bermoral dengan mengenakan prank sehingga mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

Terbaharu, seorang rider yang dikenali sebagai Muhammad Khuzaimie Lemat, 23 berkongsi pengalaman di aplikasi TikTok miliknya mengenai pelanggan yang memesan makanan di kawasan jirat cina di Sungai Putat, Melaka sehingga mendapat perhatian warganet.

Video berdurasi 59 saat itu memaparkan lelaki berkenaan berdiri keseorangan di lokasi perkuburan sambil menunggu pelanggan.

Berkongsi lanjut, dia yang sudah setahun menjadi penghantar makanan di sekitar Melaka berkata, dia yakin pesanan itu dibuat oleh pelanggan yang sengaja membuat gurauan memandangkan kaedah pembayarannya ialah bayar selepas terima (COD).

Katanya, pelanggan yang tidak bertanggungjawab itu menempah nasi goreng USA, nasi goreng ayam, teh o ais dan sirap ais.

“Kejadian itu berlaku kira-kira 6 petang, 23 Januari lalu. Saya menunggu hampir 40 minit dan sempat membuat kandungan video mengenai kejadian itu kerana terlalu marah.

“Pada mulanya, saya meneka itu pesanan daripada penggali kubur tetapi tiada seorang manusia pun yang menunggu di situ,” katanya.

Dia menjelaskan, perkongsian di media sosial miliknya itu juga bertujuan bagi membuka mata masyarakat mengenai cabaran yang perlu dilalui penghantar makanan sepertinya.

“Sudah lebih 10 kali saya terkena dengan ‘prank order’ seperti ini dan jumlah paling tinggi syarikat alami kerugian adalah sebanyak RM120.

“Kejadian seperti tempoh hari lalu merugikan masa dan tenaga saya. Mujur, pesanan itu dibuat pada siang hari dan bukannya pada waktu malam,”ujarnya.

Muhammad Khuzaimie berkata, selepas tidak dapat menghubungi pelanggan itu dia kemudian memaklumkan masalah yang dihadapinya kepada pihak khidmat pelanggan untuk tindakan selanjutnya. – Harian Metro

Google ads
Back to top button