Artikel Pilihan

#9 PERINGATAN PENTING UNTUK PENUNGGANG AMATUR

Motosikal sememangnya sebuah jentera yang menakjubkan. Ia menjimatkan masa dan wang selain mampu membolehkan anda menikmati suasana alam dengan lebih dekat.

Ramai yang memilih untuk menunggang motosikal bila cuaca dalam keadaan baik untuk mengelak kesesakan trafik. Bahkan kini trend bermotosikal baik superbike, skuter mahupun kapcai sudah menjadi popular.

Namun di antara kita pasti ada yang merupakan penunggang baharu. Sama ada ingin mencuba ataupun terpengaruh dengan rakan-rakan yang sudah lama menunggang (itu belum campur yang ingin menunjuk-nunjuk motor mahal lagi).

BACA – 10 SAMAN TRAFIK TERMAHAL DI DUNIA

BACA – MV AGUSTA KINI DIEDARKAN OLEH DEMAK

Jadi di sini kami ingin memberikan beberapa perkara yang kami dipenting untuk penunggang baharu (adik-adik yang rembat motor ayah buat merempit tak termasuk tau).

NAK PERGI MANA?

Memastikan sasaran hala tuju adalah masalah utama untuk penunggang-penunggang baru kerana perhatian anda senang beralih. Contohnya memerhatikan kluster instrumen meter, posisi tukaran gear dan ada juga yang asyik melihat meter RPM turun naik.

Satu perkara penting dalam menunggang ialah anda akan pergi ke mana anda melihat. Jika anda asyik melihat bahagian jalan di hadapan tayar motosikal anda, di situlah anda akan tertiarap jika tidak bernasib baik.

Anda mesti melihat jauh ke hadapan dan perhatikan keadaan kiri dan kanan untuk keselamatan. Sesekali lihat cermin pandang belakang terutama jika ingin memotong atau menukar lorong.

Adalah amat penting untuk anda melihat jauh ke hadapan khususnya jika mengambil selekoh. Perhatikan permukaan jalan, bukannya hanya satu atau dua meter di hadapan tetapi lebih jauh. Bukan boleh kira kat Malaysia ni kau tengah konar baring tiba-tiba lubang besar kawah kat depan.

Perhatikan keadaan permukaan jalan jika terdapat lubang ataupun permukaan tidak sekata. Pastikan tak ada serpihan-serpihan, manusia, haiwan, lipan, Abang Japar dan sebagainya di hadapan. Gunakan kelebihan yang ada – penglihatan yang lebih luas sewaktu menunggang berbanding memandu kereta.

Sebagai tambahan, anda boleh menggunakan kepala untuk memberi signal kepada pemandu berdekatan jika ingin memecut ataupun membelok. Dengan memusingkan kepala ataupun helmet ke kiri biasanya pemandu lain akan faham yang anda ingin membelok ke kiri. Ini bukanlah isyarat rasmi, tapi lebih kepada refleks semulajadi.

TUNGGANG 100 KALI LEBIH CERMAT BERBANDING MEMANDU KERETA

test-ride-Kawasaki-J300-mekanika (3)

Tunggang dengan cermat dan berhati-hati. Tanamkan dalam fikiran yang semua kenderaan di atas jalan raya ingin melanggar anda. Bunyinya memang macam melampau tetapi fikiran sebegitulah yang akan membuatkan kita lebih berhati-hati.

Semua pemandu akan nampak kereta sewaktu anda memandu tetapi ramai yang tidak mengendahkan penunggang motosikal. Tak kiralah walaupun anda menunggang Demak berwarna jingga metalik dengan lampu LED keliling dan jaket pemantul cahaya. Mereka suka-suka jadi buta, melainkan anda menggendong RPG di sisi atau AK47 di pinggang, baru mereka ni nak bagi perhatian.

Percayalah, di jalanraya, terlalu ramai pemandu kereta dungu yang memiliki sekeping kad yang bernama lesen. Sudah lah memandu tak reti bagi signal, bila ditegur buat muka macam mintak penendang.

Dewasa ini juga ramai yang sibuk menaip mesej sambil memandu seolah-olah itu merupakan urusan hidup dan mati bisnes mereka. Bezanya mereka memandu dan anda menunggang, kalau terlanggar yang sakit semestinya penunggang motor walaupun kesalahan terletak di pihak pemandu dungu tersebut.

Jika terlihat pemandu sebegitu anda boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa ataupun biarkan sahaja dan jarakkan posisi anda untuk keselamatan supaya anda boleh terus menunggang di masa hadapan. Jika ada tukul besi atau spanar saiz 82 dalam raga motor adalah satu bonus.

  • Yang tukul besi tu kami bergurau saja OK? Jangan serius sangat.

Sebenarnya, kita memang tidak boleh mengawal perbuatan pemandu lain (dungu) di atas jalan raya kecuali jika anda anggota polis trafik. Apa yang boleh kita kawal ialah perbuatan kita sendiri.

Beri lebih perhatian di tempat-tempat yang trafik selalu keluar masuk seperti simpang jalan, lorong, tempat parking, stesen minyak dan sebagainya. Jika di lebuh raya, jangan memecut di lorong kecemasan. Perhatikan jika ada kenderaan rosak, pembinaan ataupun sekatan polis.

Banyak kemalangan yang berlaku akibat kelalaian. Kadang-kadang ada juga malaun yang tiba-tiba masuk ke lorong di hadapan anda (selalu berlaku pada kami) dan bersedialah untuk membrek dengan selamat.

Pastikan juga anda tidak berada dalam posisi blind spot (titik buta) pemandu lain, khususnya kenderaan berat.

LARASKAN CERMIN PANDANG BELAKANG SEBELUM MENUNGGANG

Ducati supersport (12)

Jangan cuba laraskan cermin pandang belakang SEWAKTU menunggang kerana ia akan mengalihkan perhatian anda. Laraskan SEBELUM anda mula menunggang.

Duduk di atas motosikal anda dengan posisi sedang menunggang dan laraskan ikut keperluan anda. Ramai yang tidak sedar dengan kepentingan cermin pandang belakang kerana katanya tidak cantiklah, canggunglah tetapi percayalah ia sangat penting. Ini tidak, elok-elok ada sepasang, dibuangnya sebelah konon nak nampak sukan.

Bila dah kena sauk dari belakang dengan Ford Ranger barulah salahkan DAP, UMNO, PAS, Donald Trump PKR, sewrbuk kari Alagappas dan semuanya. Padahal salah sendiri, tak nampak objek di belakang.

PEMERIKSAAN RINGKAS SEBELUM MULA MENUNGGANG

kawasaki-versys-x-250-eicma-2016-mekanika-6

Motosikal digerakkan dengan tiga cara: rantai, tali sawat ataupun syaf. Syaf dan tali sawat biasanya perlukan kurang penyelenggaraan berbeza dengan rantai. Kebanyakan motosikal cruiser menggunakan tali sawat dan kebanyakan superbike pula menggunakan rantai. Syaf pula biasanya digunakan oleh motosikal keluaran BMW.

Syaf tidak dapat dilihat dari luar dan jarang menimbulkan masalah tetapi rantai dan tali sawat boleh dilihat dan mesti diselenggara dengan baik. Jika ia dalam keadaan kurang memuaskan, ada baiknya anda hantar dahulu ke pusat servis untuk ditukar.

Ini kerana ianya berfungsi untuk menggerakkan motosikal anda dan boleh menyebabkan anda pulang berjalan kaki. Lebih teruk lagi jika berlaku kemalangan. Rantai putus adalah benda yang anda tak nak berlaku bila menunggang dari Kuala Lipis ke Gua Musang.

Jangan lupa, periksa juga isyarat membelok, lampu hadapan dan belakang, lampu brek dan hon. Pastikan semuanya berfungsi dengan baik.

ANGGARAN KAPASITI PETROL MOTOSIKAL

Honda RS150R (4)

Setengah motosikal mempunyai meter bahan api dan setengahnya tidak, bergantung kepada pengeluar.

Jika anda sudah tahu anggaran jarak bagi setangki petrol motosikal anda mudah sahaja, resetkan sahaja odometer setiap kali anda mengisi petrol untuk mengetahui bila isian seterusnya.

Tetapi jika anda selalu memecut untuk bersiar ataupun melayan selekoh di Ulu Yam ataupun Lebuhraya Karak semestinya kadar penggunaan petrol akan bertambah. Ingat, jimat atau tidaknya penggunaan petrol pada motosikal bergantung kepada cara tunggangan.

DENIM TIDAK AKAN MELINDUNGI SEWAKTU KEMALANGAN

JEANS KEVLAR DAINESE

Ramai yang menunggang dengan mengenakan pakaian jeans ataupun denim kerana ia lebih lasak. Sebenarnya ia tidak cukup lasak jika anda terlibat dalam kemalangan (walaupun anda memakai Levi’s Big E vintaj berharga RM2000 sehelai).

Apatah lagi jika anda penunggang baru, kemalangan tentunya akan mematahkan semangat anda untuk menunggang. Untuk keselamatan, anda disarankan menggunakan pakaian menunggang yang sesuai.

Ianya memang mahal tetapi cukup berbaloi untuk keselamatan. Malah ada yang dijual secara terpakai. Bagi yang tidak pernah kemalangan mungkin akan mengatakan ianya adalah sesuatu yang leceh untuk dipakai tetapi bila dah kena sekali, serik weh.

PAKAI JAKET YANG SESUAI

Suzuki GSX 250 R (3)

Jika tidak mahukan mengenakan sut perlumbaan pun, seeloknya pakai seluar yang sesuai dan jaket yang mempunyai perlindungan.

Motor mahal boleh beli takkan tak nak melabur sedikit untuk keselamatan sendiri. Ia juga boleh memanaskan badan anda jika cuaca sejuk malah dalam masa yang sama anda kelihatan macho (dan juga berfungsi untuk menyorokkan perut boroi).

KASUT DENGAN TAPAK YANG MENCENGKAM

alpinestars (4)

Ini cukup penting khususnya untuk penunggang superbike. Sekarang ni ramai betul yang menunggang dengan seluar pendek dan memakai selipar Jepun. Alahai, macam mana kalau terjatuh bang oi.

Rasa macam nak je lempang dengan selipar yang dipakainya tu. Keadaan jalan tidak selalunya kering, jadi pastikan kasut anda mempunyai permukaan tapak yang mencengkam agar tidak tergolek sewaktu berhenti.

Lagi baik jika anda mempunyai but menunggang yang direka khusus untuk penunggang. Ia tidak licin dan dilengkapi dengan pad perlindungan untuk kaki anda.

PERIKSA TAYAR DAN TEKANAN ANGIN

michelin-power-rs-tires-mekanika-1

Sebelum menunggang periksa dulu keadaan dan tekanan angin tayar. Jangan main redah je. Jika dah haus sangat tu, tukarlah kepada tayar baru dan tambah angin jika perlu. Tayar merupakan komponen penting yang menghubungkan anda dengan permukaan jalan. Ia juga membantu anda menghentikan motosikal bila diperlukan.

Itulah antara langkah-langkah yang  kami rasakan penting khususnya untuk penunggang-penunggang baharu. Di samping mengecap keseronokan menunggang, keselamatan juga mesti diutamakan. Ingatlah kepada orang tersayang.

Selamat menunggang.

BACA – 9 TIPS ELAK KECURIAN – PESANAN PENJENAYAH

BACA – 10 SPORTBIKE TERBAIK DARI ERA 90-an

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button