Buletin

VOLVO BINA XC90 KALIS PELURU

Selepas menerima banyak pertanyaan dan permintaan, Volvo akhirnya menghasilkan model XC90 kalis peluru. 

Projek yang dimulakan sejak dua tahun itu kini sudah menerima penarafan VPAM VR8. Ini bermakna ia memiliki keupayaan menangkis peluru 360 darjah dan memastikan penumpangnya selamat jika diserang. 

“Kami berbangga kerana mampu menawarkan jentera kalis peluru ini. Sekali gus memberi keselamatan terbaik kepada pelanggan yang ingin meningkatkan tahap perlindungan mereka,” kata Eksekutif Pemasaran Kenderaan Khas Volvo, Stephan Green. 

Antara pelanggan berpotensi ialah syarikat keselamatan yang perlu membawa individu berprofail tinggi.

Model kalis peluru ini dibangunkan daripada varian XC90 T6 AWD Inscription. Sebaik sahaja dibina, ia akan dibawa dari kilang Torslanda di Sweden ke kemudahakan TRASCO di Bremen, Jerman. 

TRASCO ialah sebuah syarikat yang pakar dalam menghasilkan kenderaan dengan tahap perlindungan tinggi. Penghasilan jentera itu dilakukan dengan prosedur yang ketat demi mematuhi piawaian balistik yang telah ditetapkan. 

Penumpang dilindungi daripada tembakan peluru dan bahan letupan menerusi perisai besi yang kuat setebal  10mm. Manakala cerminnya pula boleh mencapai ketebalan 50mm.

Secara keseluruhan, semua komponen itu menambah berat 1,400kg kepada XC90. 

Jadi, SUV tersebut perlu dipasang dengan sistem suspensi dan brek yang telah dinaik taraf. 

Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan sekarang dan penghantaran pertama dijadual bermula akhir tahun ini. 

Volvo juga dilapor menawarkan jenera perisai lebih ‘ringan’ yang dibina di atas XC60 T6 AWD Inscription atau XC90 T6 AWD Inscription.

Kereta tersebut disasarkan kepada pasaran Amerika Latin dan Eropah dengan jualan dijangka bermula separuh pertama 2020. 

Google ads
Back to top button