Buletin

MITSUBISHI ASX 2023 DIPERKENALKAN. MIRIP RENAULT CAPTUR, ADA VARIAN PHEV. MASUK MALAYSIA NANTI?

Selepas 12 tahun berada di pasaran, Mitsubishi akhirnya memperkenalkan generasi terbaharu crossover kompaknya, ASX yang bakal dijual di Eropah dan tidak mustahil membuat kemunculan di Malaysia pada masa depan. 

Seperti yang dapat dilihat, ASX memang sangat mirip dengan Renault Captur. Apa yang membezakan di antara kedua-duanya hanyalah kemasan pada gril hadapan. Rim pun diambil daripada Captur. 

Bukan itu sahaja, Mitsubishi turut menyalin pilihan enjin yang ditawarkan kepada Renault iaitu 1.0 liter tiga silinder berkuasa 90hp. Enjin kedua ialah 1.3 liter turbo yang didatangkan dengan dua pilihan output kuasa 138hp dan 155hp yang dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan atau tujuh kelajuan klac berkembar. 

ASX juga menjadi model hibrid pertama Mitsubishi yang dijual di Eropah. Enjin bersesaran 1.6 liter yang digabungkan dengan dua unit motor elektrik dan transmisi automatik multimode itu mampu menjana kuasa mencecah 141hp.

Varian tertinggi ASX dijana oleh rangkaian kuasa plug-in hybrid yang terdiri daripada enjin 1.6 liter, dua motor elektrik dan bateri berkapasiti 10.5kWh. Menghasilkan kuasa 157hp, sistem berkenaan membolehkan ASX bergerak sehingga 49km dengan kuasa elektrik sepenuhnya. 

Masuk ke dalam kabin, pelanggan boleh memilih kelengkapan yang ada berdasarkan kepada bajet masing-masing.

Pelanggan boleh mendapatkan paparan digital bersaiz 10.25 inci yang memaparkan navigasi 3D dan boleh diubah suai. Skrin berukuran tujuh inci atau 4.2 inci bersama meter analog juga ada tersedia jika anda mahu lebih berjimat.

Sistem infohibur juga boleh dipilih sama ada skrin format landskap bersaiz tujuh inci atau skrin potret 9.3 inci.

Kedua-duanya boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar. Pelanggan boleh memilih mode pemanduan, mengawal sistem hiburan dan lapan warna lampu ambien menerusi skrin tersebut.  

Walaupun ASX mengekalkan dimensinya iaitu 4,228mm panjang, 1,797mm lebar dan 1,573mm tinggi, ia masih mampu menawarkan tempat duduk belakang yang boleh digelungsur untuk memberi lebih ruang kaki dan kargo kepada pengguna. Ruang kargo boleh diluaskan daripada 332 liter menjadi 401 liter dengan ciri itu. 

Sebagai sebuah model moden, ASX 2023 didatangkan dengan rangkaian sistem keselamatan. Ia terdiri daripada sistem amaran pelanggaran belakang dengan bantuan brek keccemasan, pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal sebagai standard. 

Tidak ketinggalan, ciri pengekalan lorong aktif, pengecaman tanda jalan, bantuan titik buta, amaran kelajuan, kawalan jelajah adaptif, bantuan lampu tinggi dan banyak lagi. Varian tertinggi dilengkapi MI-PILOT yang menggabungkan ciri kawalan jelajah adaptif dan pengekalan lorong tengah. 

ASX akan mula dijual pada Mac 2023 di pasaran Jerman dan beberapa pasaran Eropah yang terpilih.

GALERI

Google ads
Back to top button