Motosikal

DUCATI MIG-RR – MTB ELEKTRIK KINI SUDAH BOLEH DITEMPAH DI EROPAH, RM29,350 SEUNIT

Ducati MIG-RR, basikal bukit (mountain bike) elektrik atau E-MTB yang pertama diperkenalkan oleh Ducati pada acara EICMA 2018 kini sudah berada di para pengedarnya di Eropah.

Bermula 25 Januari 2018, basikal yang dibangunkan hasil kerjasama di antara Ducati dan Thok Ebikes boleh ditempah menerusi laman web rasmi Ducati.

MIG-RR nyata mendapat perhatian sebaik sahaja fotonya tersebar di internet dan melakukan debut di EICMA 2018.

Basikal itu tampil dengan kerangka aluminium, lengkap bersama bateri berkuasa 504-Wh yang diletakkan pada tiub diagonal.

Sistem Shimano Steps E8000 yang direka khas untuk model-model MTB menyediakan kuasa tambahan. Sekali gus membolehkannya mencapai kelajuan mencecah 25km/j.

Mode Trail dan Boost boleh diubah suai berdasarkan kepada kehendak penunggang. Basikal itu dilengkapi set gear 11 kelajuan Shimano XT, penyerap hentak Kashima Factory Series Fox.

Ia juga dipasang dengan brek empat angkup Shimano Saint, roda Mavic, bar hendal gentian karbon Renthal dan livery khas yang direka oleh D-Perf, Aldo Drudi.

Ducati MIG-RR ditawarkan pada harga €6,250 (RM29,350) seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button