Motosikal

APRILIA SHIVER 900 DILANCARKAN – CBU ITALI, RM72K SEUNIT

Didi Resources ini baru-baru melancarkan model terbaharu Aprilia Shiver 900 secara rasmi . Sebelum ini, Aprilia pernah menawarkan model Shiver 750 yang dipasang tempatan (CKD).

Shiver yang mula diperkenalkan pada tahun 2007 menjadi model kilang pertama dilengkapi ciri ride-by wire yang berfungsi menguruskan elektronik injap pendikit enjin.

“Shiver terdahulu menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna tempatan. Kami percaya model terbaharu ini akan jadi lebih baik.

“Ini kerana kami komited untuk menawarkan lebih nilai dari aspek perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti setelah mengambil alih hak pengedaran jenama Aprilia di Malaysia,” kata Pengarah Didi Resources, Goh Kian Sin.

Kali ini, Shiver 900 hadir dengan enjin selinder berkembar (V-Twin) lebih berkuasa demi menawarkan tunggangan yang mengujakan. Enjin yang mampu menjana kuasa mencecah 95.2hp pada 8,750rpm dan tork 90Nm pada 6,500rpm itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Kuasa tersebut dapat dimanfaat sepenuhnya oleh penunggang menerusi tiga mode tunggangan iaitu Sport, Touring dan Rain.

Kuasa dan karekter Shiver bagaimanapun tidak berkompromi dengan aspek keselesaan penunggang. Ia juga dikatakan lebih mudah dikendalikan, terima kasih kepada kepakaran Aprilia dalam menghasilkan chasis motosikalnya.   

Model sport naked ini tampil menyerlah dengan corong pengambilan udara di bahagian hadapan, rekaan belakang kompak dan paip ekzos disisip di bawah tempat duduk.

Tidak ketinggalan penutup tepi tangki minyak, panel sisi dan madgad hadapan yang membuatkannya lebih garang.   

Shiver 900 didatangkan dengan sistem kawalan cengkaman yang boleh ditala kepada tiga tahap berbeza untuk keselamatan maksimum. Sistem Aprilia Traction Control digabungkan dengan brek ABS dua saluran Continental. Oh ya, brek ABS ini boleh dinyahaktifkan.

Instrumentasi kawalan terdiri daripada paparan teknologi TFT yang turut digunakan pada Aprilia RSV4 dan Aprilia Tuono 1100 V4 membolehkan penunggang melihat semua maklumat tunggangan dengan jelas.

Antara maklumat yang dipaparkan alah kaunter rev, speedometer, kedudukan gear, suhu air, suhu cecair penyejuk, pemetaan enjin dan jam.  Talaan boleh dibuat menerusi joystick pada bar hendal sebelah kiri.

Bukan itu sahaja, jentera ini dilengkapi sistem APRILIA MIA yang boleh disambung dengan telefon pintar. Jadi, anda boleh melihat maklumat panggilan atau trek muzik yang sedang dimainkan pada paparan skrin.

Menggunakan aplikasi tertentu, paparan itu boleh bertindak sebagai alat navigasi.  

Didi Resources tidak menolak kemungkinan untuk menjalankan program pemasangan tempatan untuk model ini.

Namun, ia mahu mengukuhkan dahulu jenama Aprilia dan memberi perkhidmatan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan sedia ada.

GALERI

Google ads
"
"
Back to top button