Artikel Pilihan

10 KERETA HEBAT DARI INSPIRASI RANCANGAN TV

Suatu ketika dahulu, adalah menjadi trend bagi pengeluar rancangan TV Hollywood memaparkan kereta-kereta hebat dalam rancangan televisen keluaran mereka. Biasanya kita akan tercongok di hadapan televisen pada malam siarannya untuk menyaksikan para hero pujaan kita beraksi dengan kereta-kereta mereka.

Malah kereta-kereta inilah yang menjadikan sebuah rancangan televisen itu berbaloi ditonton. Ia bukan hanya sebuah kereta tetapi sudah menjadi satu watak dalam rancangan itu sendiri.

BACA – FILEM AKSI KERETA TERBAIK PILIHAN KAMI

BACA – THUNDERBOLT, SCENE KERETA JDM SEBENAR 

Di sini kami senaraikan untuk anda 10 kereta tersohor yang pernah menemani kita suatu ketika dahulu pada waktu perdana setiap malam (masa tu Astro tak ada lagi, jadi biasanya tiada siaran ulangan). Semua dari siri TV ye adik-adik Axia dan Myvi, bukan filem – baca dulu sebelum komen.

1. THE PIRANHA “THE MAN FROM U.N.C.L.E.” (1964-68)

1-the-piranha-superspy-car-filem

The Man From UNCLE adalah siri perisikan pertama keluaran Amerika Syarikat yang meniru tema filem James Bond. Sama seperti Agen 007, ejen UNCLE bernama Napoleon Solo juga memerlukan sebuah supercar dengan pelbagai gajet canggih untuk menyelesaikan misi beliau.

Tugas untuk menghasilkan kereta tersebut telah diserahkan kepada pereka kereta custom pupolar, Gene Whitfield. Pada ketika itu Whitfield sedang berusaha menyiapkan satu model untuk AMT, yang membantu membiayai kos R&D pintu goldwing futuristik yang dapat anda saksikan pada model DeLorean.

Sebagai balasan, Whitfield diberikan hak untuk mengeluarkan model kit car berdasarkan ciptaan beliau. Hasilnya, lahirlah Piranha yang dikuasakan dengan enjin Corvette. Ia juga telah dihasilkan sebagai kit car untuk para peminatnya di Amerika Syarikat. Dikatakan masih ada beberapa buah model ini di Amerika Syarikat sehingga ke hari ini.

2. SUNBEAM TIGER 1965 “GET SMART” (1969-70)

2-sunbeam-tiger

Hanya kerana anda mencipta satu watak perisik yang lucu dan cuai tidak bermakna beliau tidak perlu mempunyai kereta yang bergaya.

Jika dilihat pada permulaan setiap episod Get Smart, anda akan melihat watak utamanya memandu model klasik Sunbeam Tiger MK 1965. Perlu diingat Cuma 7000 sahaja model ini pernah dihasilkan.

Tetapi untuk penggambaran siri ini mereka juga telah menggunakan Sunbeam Alpine dengan enjin empat-selinder sebagai gantian kepada Sunbeam Tiger MK. Ini adalah kerana enjin V8 model Tiger MK adalah terlalu besar sehingga tiada ruang untuk memuatkan gajet-gajet Ejen Smart di dalam kereta tersebut.

3. PLYMOUTH BARRACUDA 1971 “NASH BRIDGES” (1996-2001)

3-plymouth-baracuda

Don Johnson merupakan antara artis Hollywood bertuah kerana sentiasa diberikan kereta-kereta hebat di dalam siri TV lakonan beliau. Plymouth Barracuda 1971 ini adalah salah satu antaranya.

Ia berkisar tentang seorang detektif polis di San Francisco. Juga dikenali dengan nama Hemi Cuda kerana dilengkapi dengan enjin berkuasa Hemi yang cukup sinonim dengan Muscle Car di Amerika Syarikat.

Tetapi sebenarnya untuk siri ini, tidak ada satu pun yang menggunakan enjin Hemi. Ia cuma dikuasakan dengan enjin 316-360.

4. FORD GRAN TORINO “STARSKY AND HUTCH” (1975-79)

4-ford-grand-torino

Sesiapa yang lahir tahun 70-an dan tak kenal siri ini memang rumah dia tak ada TV la. Inilah antara siri polis yang paling lejen dengan kereta berwarna merah tomato dengan jaluran putih di sisi badan.

Ia dikuasakan dengan enjin V8 460 Lima dan bahagian belakang ditinggikan dengan menggunakan penyerap hentak khas dan dipadankan dengan tayar belakang bersaiz besar.

Ia sebenarnya sebuah kereta yang langsung tidak kena tempat untuk digunakan oleh polis yang sedang menyamar tetapi ia sangat popular sehinggakan Ford telah mengeluarkan sejumlah 1001 unit Gran Torino berdasarkan model ini pada tahun 1976, tahun terakhir pengeluarannya.

5. DODGE CHARGER R/T “THE DUKES OF HAZZARD” (1979-85)

5-dodge-charger-rt

Ini merupakan kemuncak kepada kegilaan Muscle Car bagi para remaja di Amerika Syarikat. Lupakan watak Daisy Duke berseluar pendek kerana apa yang ditunggu oleh para remaja masa itu ialah sebuah Dodge Charger R/T yang dinamakan “General Lee” beraksi dalam adegan kejar mengejar dengan kuncu-kuncu Boss Hogg.

General Lee dikatakan asalnya ialah sebuah kereta lumba kerana Dodge Charger ini sentiasa mempunyai tingkap yang terbuka, roll bar dan pintu yang dipateri sepenuhnya.

Nak keluar masuk pun main lompat ikut tingkap je, punyalah dramatik. Menurut sumber, antara 300 hingga 330 buah General Lee telah dihasilkan (dan dimusnahkan) sepanjang 6 tahun siri TV ini dihasilkan. Siri TV ini akhirnya difilemkan pada penghujung 90-an.

6. FERRARI TESTAROSSA 1986 “MIAMI VICE” (1984-89)

6-miami-vise-ferrari-testarossa

Miami Vice juga menggunakan tema polis tetapi tarikan utama semestinya ialah sebuah Ferrari Testarossa berwarna putih yang digunakan oleh watak utamanya lakonan Don Johnson (dia lagi).

Macamana Testarossa ini muncul juga agak menarik. Pada awal kemunculan siri ini, watak utama siri ini menggunakan Ferrari Daytona 365 GTS/4 yang cukup eksklusif jadi pihak produser telah mencipta sebuah 365 tiruan menggunakan kit car.

Berita ini sampai ke pengetahuan Enzo Ferrrari yang cukup tidak gembira bila mendengar tentang Ferrari tiruan digunakan untuk sebuah siri TV yang cukup berpengaruh dan popular.

Beliau lantas memberikan dua buah Ferrari Testarossa untuk kegunaan produksi dan sebuah lagi untuk tujuan lagak ngeri.

7. FERRARI 308 GTS “MAGNUM PI” (1980-88)

7-ferrari-308-gts-magnum-pi

Sebuah lagi Ferrari dan sebuah lagi siri penyiasatan. Kali ini watak utama bernama Magnum bukan seorang anggota polis tetapi seorang penyiasat persendirian di pulau Hawaii.

Jika Hawai Five-O terbaru menggunakan Chevrolet Camaro, Magnum lagi hebat kerana menggunakan Ferrari 308 GTS.

Ia merupakan hasil lakaran pereka terkenal Leonardo Fioravanti dan merupakan model Ferrari yang paling dikenali pada ketika itu. 308 GTS merupakan kereta kepunyaan majikan Magnum dan kemudiannya dihadiahkan kepada Magnum sebagai menghargai perkhidmatan beliau (mana nak dapat bos macam ni).

8. COYOTE X “HARDCASTLE & MCCORMICK” (1983-1986)

8-coyote-x

Mungkin tidak ramai yang ingat dengan siri ini kerana in tidak sepopular siri TV lain dari Hollywood. Sesiapa yang pernah menontonnya mesti ingat dengan sebuah kereta hebat yang dinamakan Coyote X yang dipandu oleh salah seorang watak utama yang merupakan bekas pelumba kereta dan juga seorang bekas banduan.

Beliau kemudiannya bergabung dengan bekas seorang hakim untuk membanteras jenayah dengan menggunakan kereta tersebut. Ramai yang menyangka Coyote X diasaskan daripada model kit car Manta Montage tetapi sebenarnya ia diasaskan daripada model McLaren M6BGT (Manta Montage sendiri pun diasaskan daripada model McLaren). Enjinnya pula adalah diambil daripada Porsche 914.

9. GMC VANDURA 1983 “THE A-TEAM” (1983-87)

9-van-gms-vandura-a-team

The A-Team merupakan siri TV mengenai askar upahan yang menjadi buruan pihak tentera kerana dikatakan telah melakukan jenayah (korang pernah tengok tak ni?).

Empat watak utama sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain menggunakan sebuah van GMC Vandura yag berwarna hitam dengan sport rim berwarna merah yang ikonik. Ia juga dihiasi dengan jaluran merah pada sisi badan dan spoiler pada bahagian bumbung.

Walaupun van ini dikatakan berwarna hitam, bahagian atas jaluran itu sebenarnya berwarna sedikit kelabu. Berbeza dengan MPV zaman sekarang, GMC ini sebenarnya merupakan panel van kerana ia tidak mempunyai tingkap di bahagian belakang.

10. KITT “KNIGHT RIDER” (1982-86)

10-knight-rider

KITT (Knight Industries Two Thousand) merupakan sebuah kereta yang paling popular di skrin TV suatu ketika dahulu. Bukan setakat sebuah kereta, tetapi ia sendiri merupakan watak utama kepada siri Knight Rider.

Knight Rider diasaskan daripada model Pontiac Trans Am 1982 dan dilengkapi dengan pelbagai pemproses dan perisian membolehkannya bercakap dan bergerak sendiri. Panel badannya juga lengkap berperisai (termasuk tayar sekali) untuk menahan segala bentuk tembakan dan letupan selain mempunyai kelajuan yang tiada tandingan (dengan bantuan Turbo Boost).

10-knight-rider-f

Meleleh air liur masa tengok cerita ni dulu. Memasuki siri keempat, KITT diubahsuai agar mampu bertukar kepada menjadi model convertible dan dilengkapi dengan mod kelajuan tinggi (Super Pursuit Mode). Jika anda suka melihat kereta laju, boleh bercakap dan melompat, saksikan sahaja ia beraksi di Youtube.

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button