Buletin

ASTON MARTIN VALKYRIE PELANGGAN PERTAMA DAH SIAP, 1139 HP!

Pengguna sekarang walaupun hanya segelintir boleh merasai teknologi kereta lumba Formula 1 pada kereta jalanan. Mercedes-AMG menghasilkan kereta hiper ONE manakala Aston Martin pula dengan Valkyrie.

Kuasa kereta ini dengan bantuan teknologi bateri dan motor elektrik memang luar biasa. Aston Martin Valkyrie misalnya berkuasa 1,139 hp!

Bukan sahaja terhad, projek kereta hiper ini juga memakan masa yang lama dan walaupun begitu masanya telah tiba. 

Aston Martin Valkyrie pertama milik pelanggan sudah pun siap dan bakal diserahkan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Valkyrie hadir dalam model konsep AM-RB 001 dan pertama kali diperkenalkan pada tahun 2016. Tahun berikutnya giliran Valkyrie Prototype VP-1 dan VP-2 pada 2019.

Siapa pemilik pertama Valkyrie? Mungkin dapat diketahui melalui media sosial atau kekal misteri.

Sama seperti kereta eksotik lain, pemilik yang menjual untuk keuntungan segera (flip) tidak akan ditawarkan peluang serupa bagi model istimewa Aston Martin.

Valkyrie dikeluarkan di ibu pejabat Aston Martin di Gaydon, United Kingdom. Pengeluarannya melibatkan sejumlah kakitangan berkemahiran tinggi yang memasangnya dengan tangan.

Hanya 150 buah Valkyrie dikeluarkan dan setiap satu memerlukan lebih 2,000 jam untuk disiapkan.

Daripada 150 buah, 85 adalah model spider dan 40 model litar Valkyrie AMR Pro.

Sebelum diserahkan kepada pelanggan Valkyrie diuji dahulu di Silverstone, litar yang menjadi saksi kepada banyak program pembangunannya.

Valkyrie digerakkan rangkaian kuasa hibrid dengan enjin V12 dan menggunakan konsep dan teknologi dari kereta F1.

Banyak pihak yang terlibat di dalam projek ini seperti Cosworth, Ricardo, Rimac, Multimatic, Alcon, Integral Powertrain Ltd., Bosch, Surface Transforms, Wipac dan Michelin.

Enjin 6.5 liter V12 Aston Martin-Cosworth aspirasi normal pada Valkyrie berkuasa 1,000 hp pada 10,500 rpm dengan tork 740 Nm pada 7,000 rpm.

Digabungkan bersama sistem elektrik, kereta hiper itu berkuasa 1,139 hp dan tork 900 Nm!

Valkyrie menggunakan sistem KERS sama seperti kereta F1 dan segala pakej itu berada pada berat kereta (kerb weight) sekitar 1,100 kg sahaja!

Bayangkan sejumlah kuasa dan cengkaman untuk sebuah kereta yang ringan sedikit berbanding Proton Iriz.

Berkenaan harga, Aston Martin Valkyrie dilaporkan boleh dimiliki pada GBP2.5 juta atau bersamaan RM14.02 juta.

BACA: ASTON MARTIN DBX KINI DI MALAYSIA. ENJIN AMG V8 542HP!

BACA: ASTON MARTIN PERKENAL SIMULATOR AMR-C01. TERHAD 150 UNIT, RM307K!

BACA: ASTON MARTIN VANTAGE LIQUID CRIMSON 2021 SUDAH TIBA. BERMULA RM851K

Google ads
Back to top button