Buletin

UJIAN KERETA TERBANG ESOK TIDAK TERIMA PELEPASAN PIHAK BERKUASA PENERBANGAN AWAM

Ujian penerbangan kereta terbang pada hari esok yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof tidak menerima pelepasan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM). 

Dalam satu kenyataan pada hari ini, CAAM menyatakan bahawa satu ujian penerbangan yang melibatkan  kenderaan dikenali sebagai UAS E-Hang 216 pada 15 November lalu juga dibuat tanpa kebenaran dan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengenainya. 

“Lokasi ujian penerbangan di Hangar Institut Teknologi Penerbangan Awam Malaysia Kuala Lumpur di Subang adalah kurang 200 meter dari trafik penerbangan pesawat dan helikopter kemersial. Ia jelas berada dalam Zon Kawalan Terminal Lapangan Terbang Subang yang dikawal selia ketat oleh kawalan trafik udara. 

“Bukan itu sahaja, EH216 hanya mengeluarkan satu Permit Penerbangan Khas (SFP) oleh State of Design Pentadbiran Penerbangan Awam China yang terhad untuk tujuan pembangunan dan penyelidikan penerbangan di Taman Sains Dunia di Guangzhou, China sahaja.  

Memetik laporan Malaysiakini, Redzuan sebelum ini memberitahu kenderaan itu merupakan produk sebuah firma China dan didakwa akan membuka perniagaannya di Malaysia. 

CAAM memberitahu pihaknya menyokong pembangunan agensi aeroangkasa, tetapi mestilah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan. 

“Ujian dan demonstrasi penerbangan mestilah dibuat mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR 2016) demi memastikan keselamatan. CAAM juga ingin menyatakan kami terbuka untuk menimbang permohonan ujian penerbangan EH216 di lokasi sesuai,” jelasnya. 

Status CAAM di laman Facebook rasminya itu telah dikongsi sebanyak 157 kali dan menerima 165 Likes setakat ini. 

Tags
Google ads
Back to top button