Pandu Uji

AUDI A5 SPORTBACK, GENTLEMAN SPEED DEMON

Audi A5 Sportback merupakan sebuah kereta sport sedan, atu lebih tepat lagi dikenali dengan nama Sportback. Ia dikategorikan sebagai sebuah kereta yang boleh dipandu laju, tapi mengekalkan ciri mewah dan eksekutif yang ada pada model asalnya.

Sebagai contoh, A5 sebenarnya diasaskan daripada model Audi A4 Sedan untuk bahagian wheelbase, menggunakan rekaan yang sedikit berbeza di bahagian depan manakala bahagian belakang menggunakan rekaan seakan coupe dengan bahagian bumbung belakang bersambung terus dengan bahagian bonet belakang

Ia nampak sporti seperti sebuah Coupe 2 pintu, tapi luas sama seperti sedan dengan 4 pintu berbanding dengan 2 pintu seperti rekaan kebanyakan coupe serta pintu sisi tanpa bingkai (frameless door). Kaedah ini juga digunakan oleh BMW bagi menghasilkan model BMW 4 Series

Audi A5 dibina dengan menggunakan platform MLB Evo dan tidak sama dengan Volkswagen Arteon dengan panjang keseluruhan model ini mencecah 4757mm dan lebar 1843mm. Jarak antara roda pula adalah sama dengan Audi A4 Sedan pada 2831mm.

Hanya 1 varian sahaja yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaiatu S Line Trim. Jadi Audi A5 diberikan lampu depan Matrix LED, Dynamic Turn Signal, rim 19 inci yang lebih besar dan agresif serta dipasang dengan spring penyerap hentak yang lebih rendah.

Kemasan dalaman Audi A5 hampir sama dengan model A4, termasuklah penggunaan kusyen semi bucket balutan kulit, kemasan aluminium brushed serta bahagian pintu yang dibalut dengan bahan suede yang menghasilkan suasana premium

Unit Audi Multi Media Interface atau MMI yang ditiru oleh kebanyakan pengeluar automotif lain dikekalkan pada model ini dan disambung dengan sistem bunyi Audi Sound System. Sistem MMI juga membenarkan anda mengawal penyaman udara 3 zon dan memberikan akses kepada 5 mod pemanduan

Jika anda merasakan skrin ini tidak cukup, Audi A5 juga menawarkan skrin Virtual Cockpit Plus sebesar 10.25 inci bagi mengggantikan meter analog biasa. Selain menawarkan bacaan meter, sistem ini membenarkan anda menggunakan penunjuka arah navigasi yang terbina dalam

Disebabkan rekaan sloping roof yang digunakan oleh Audi A5, maka ruang kepala untuk penumpang belakang adalah sempit sedikit terutamanya dengan kewujudan bonggol di bahagian tengah. Hanya 2 penumpang sahaja dibenarkan untuk berada di bahagian belakang disebabkan hanya ada 2 tali pinggang keselamatan yang disediakan

Selain daripada soket 12 volt dan corong penyaman udara, tiada ciri istimewa untuk penumpang belakang. Ruang kargo belakang pula menawarkan ruang sebesar 456 liter dan boleh dibesarkan menjadi 1300 liter sekiranya kusyen barisan belakang dilipat

Enjin 2000cc 4 silinder turbo dari varian CDLA digunakan untuk Audi A5, lengkap dengan sistem Mild Hybrid bagi menjana sekitar 246 kuasa kuda dan 350Nm tork. Semua kuasa akan diagihkan pada semua roda menerusi sistem AWD dan juga gear DSG 7 kelajuan

Audi memberikan bacaan purata 14km bagi setiap liter petrol, namun bacaan realistik yang diperolehi oleh penulis berlegar sekitar 12km per liter. Ia sebenarnya bacaan yang bagus bagi sebuah model prestasi tinggi dengan pecutan 0-100 dalam masa 7.2 saat dan halaju tertinggi mencecah 245km/jam.

Tapi realitinya adalah sukar bagi anda menahan diri daripada tergoda dengan penawaran kuasa enijin ini biarpun kaveatnya adalah penggunaan petrol yang tinggi. Anda akan terus menekan pedal minyak rapat ke lantai dan meminta laluan daripada kereta depan untuk kekal di laju di lorong kanan lebuh raya

Jika anda ingin memandu dengan selesa, maka jawapan yang betul ialah Volvo. Jika anda ingin memandu laju, Audi boleh memberikan kawalan cesi yang baik biarpun di selekoh tajam pada halaju tinggi dengan mengorbankan sedikit aspek keselesaan

Gandingan tayar 255/35, rim 19 inci dan spring sport yang direndahkan bukanlah resipi yang bagus untuk keselesaan. Tapi bila dipadankan dengan sistem suspensi geometri MultiLink pada semua roda maka anda boleh terus kekal laju di selekoh.

Penggunaan MultiLink membenarkan nilai sudut camber, caster dan toe tidak berubah ketika selekoh lantas tidak merubah dinamik pengendalian Audi A5. Buktinya A5 kekal solid ketika selekoh tanpa ada masalah body roll dan melekat di permukaan jalan dengan baik dengan halaju 2 kali ganda halaju kebangsaan

Sistem brek semua roda juga adalah cemerlang, terus menyentap cesi pada halaju tinggi dan memberikan anda rasa kawalan jitu dalam situasi getir. Manakala sistem AWD pula menawarkan cengkaman yang bagus pada jalan basah ataupun kering.

Namun selepas memandu hampir 2 jam, badan anda akan mula meminta untuk berehat disebabkan kusyen A5 boleh dikategorikan sebagai keras, bentuk kontur permukaan yang kurang sesuai untuk orang Asia yang lebih kecil serta tiada ciri penyejukan mahupun mengurut

Audi A5 ditawarkan dengan sistem keselamatan aktif yang asas merangkumi sistem Pre Sense di bahagian belakang, Lane Departure Warning, Amaran titik buta, Safe Exit Warning, dan Kamera Mengundur yang terang (bukan kamera 360 darjah).

Ini adalah beberapa kelemahan pada Audi A5 yang diperhatikan oleh penulis semasa memandu uji. Pertama kusyen belakang terasa sedikit sempit manakala penumoang depan pula tidak boleh mengubah perehat kepala

Hanya 4 penumpang sahaja yang boleh menaiki Audi A5 dalam satu masa. Dengan harga mencecah RM 460,000 seunit maka kos untuk setiap penumpang mencecah RM 115,000. Satu aspek yang perli diterima memandangkan Audi A5 diimport sepenuhnya dari Jerman.

Secara tepatnya Audi A5 merupakan sebuah kereta yang tepat untuk golongan muda berduit yang mahukan kelainan, kuasa dan jentera yang boleh cepat sampai ke destinasi. Jika satu ketika dulu pemilik pernah memandu Golf GTi, maka Audi A5 adalah pengganti yang sesuai

Google ads
Back to top button