
AUTO SHANGHAI 2023: WEY GAOSHAN MAHU LAWAN LEXUS LM DAN ALPHARD. PILIHAN HIBRID DAN PHEV, 900KM SETANGKI PENUH
Pesaing Lexus LM baharu dan Toyota Alphard, WEY Gaoshan membuat debut di Auto Shanghai 2023. MPV baharu itu dijangka tiba di pasaran pada tahun ini.
Wey Gaoshan adalah MPV 7 tempat duduk berukuran 5,045mm panjang, 1,960mm lebar, 1,900mm tinggi dengan jarak roda pada 3,085mm. Ini menjadikannya 100mm lebih panjang, 110mm lebih lebar dan 5mm lebih tinggi berbanding Alphard.
Secara luaran, WEY Gaoshan sememangnya mirip seperti MPV dari pengeluar Jepun itu. Dari bahagian hadapan, model ini mempunyai gril bersalut krom besar yang bercantum dengan lampu hadapan.

Perincian lain diserlahkan lagi dengan rim 18-inci, unit lampu belakang menegak yang bersambung bersama bar LED melintang penuh.
WEY Gaoshan menawarkan dua pilihan trenkuasa yang terdiri daripada versi hibrid dan hibrid plug-in (PHEV).
Untuk versi hibrid, ia dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo serta dipadankan dengan motor elektrik, berupaya menghamburkan kuasa 321hp dan tork 530Nm.

Ia menggunakan pek bateri 34kWh, menawarkan jarak gerak 184km untuk setiap pengecasan penuh atau 1,000km (setangki bahan api penuh).
Sementara untuk sistem hibrid plug-in pula menghasilkan 430hp, tork 762Nm serta mampu mencapai jarak gerak sifar emisi sehingga 155km atau 900km bagi setangki bahan api penuh.
Selain itu, pek bateri berkenaan menyokong sistem pengecasan pantas 48kW yang hanya mengambil masa 29 minit dari 10 hingga 80 peratus.
Tiada maklumat mengenai harga tetapi WEY Gaoshan bakal bersaing dengan Voyah Dreamer, Zeekr 009, Hongqi HQ9, Denza D9, Maxus Mifa 9 dan Alphard di pasaran China.
GALERI:



















