Artikel Pilihan

TOYOTA bZ4X, BATERI EV DIJAMIN SEHINGGA 10 TAHUN ATAU 1 JUTA KM

bZ4x membawa maksud “beyond Zero Compact Crossover” merupakan percubaan pertama Toyota bagi menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya dengan keupayaan pacuan semua roda. Malah bZ4X dihasilkan dengan menggunakan platfrom baru sepenuhnya bagi memuatkan trenkuasa elektrik dalam usaha mempercepatkan proses karbon neutral

Model ini dilancarkan bersama kembarnya iaitu Subaru Solterra dimana Subaru akan membawa idea dan kepakaran dalam kejuruteraan pacuan semua roda, kali ini dalam bentuk trenkuasa elektrik. Platform baru eTNGA yang digunakan akan mengintegrasikan sistem bateri dalam lantai platform

Teknik ini menghasilkan platfrom yang sangat tegar dan pusat graviti yang rendah bagi menghasilkan dinamik pemanduan yang menyeronokkan. eTNGA juga merupakan platform modular yang boleh diubah bagi menghasilkan kenderaan lain, dari jenis kompak sehinggalah merangkumi saiz kenderaan mewah dan besar bagi kategori EV

Terdapat 2 varian yang dihasilkan samaada pacuan depan atau pacuan semua roda. Pacuan depan menggunakan satu motor elektrik yang menghasilkan 204 kuasa kuda dan 265Nm tork. Manakala pacuan semua roda menjana sehingga 218 kuasa kuda dan 337Nm tork dengan 2 motor. Bagi atas permukaan salji dan lumpur, X-Mode turut ditawarkan bagi cengkaman yang lebih bagus

Kedua dua varian akan menggunakan bateri ion lithium sebesar 71.4 kWh dengan gabungan 96 sel yang desejukkan dengan cecair dan semua sel akan dipantau suhunya bagi mengelakkan ia merosot. Toyota yakin bahawa bateri mereka masih mampu mengekalkan sekurang-kurangnya 70% kapasiti selepas 10 tahun

Malah Toyota juga memberi jaminan bateri ini mengekalkan caj 100% sehingga 8 tahun atau 160,000km dan jangka hayat ini boleh ditambah dengan Extended Battery Care dimana ia mampu bertahan 10 tahun atau sekurang-kurangnya 1 juta kilometer pemanduan dengan syarat ia menjalani EV Health Check setiap tahun dengan kapasiti 70% daripada kapasiti asal

Bateri yang digunakan oleh Toyota boleh beroperasi dalam suhu -30 darjah Celcius dan sehingga 60 darjah Celcius. Jika sistem mengesan suhu yang abnormal, ia akan menghidupkan sistem penggera bagi memeriksa keadaan bateri. Dalam semua keadaan pemanduan, suhu bateri akan disejukkan dan dipanaskan mengikut keadaan sekeliling dengan menggunakan heat pump

Dalam ukuran WLTP, bZ4X memiliki jarak pemanduan sehingga 516km bagi versi pacuan depan dan 470km bagi pacuan semua roda. Bateri pula boleh dicaj dari 0-80% dalam masa 30 min dengan menggunakan DC Fast Charging.

Bagi pengecasan biasa dengan 230Volt, ia akan memakan masa sehingga 9.5 jam. Ketika ia mula-mula dilancarkan, ia menggunakan 6.6kw On Board Charger, dan akan dinaiktaraf menjadi 11kW bagi akhir tahun 2022.

Toyota juga memperkenalkan teknologi baru yang dikenali sebagai eAxle yang menggabungkan transaxle, motor dan inverter dalam satu unit kompak, hasil pengalaman Toyota selama 25 tahun membangunkan kereta hibrid

Bagi meningkatkan kecekapan sistem, Toyota menggunakan stator motor elektrik yang kecil, rotor eletrik besar berkuasa tinggi dan transaxle menggunakan minyak pelincir kelikatan rendah. Toyota juga memperkenalkan ESU (Electric Supply Unit) yang menggabungkan DC Relay dalam satu unit kompak

Bagi memberikan pengalaman pemanduan yang neutral, nyahpecutan bagi sistem brek regeneratif dinaikkan 0.15G sebaik sahaja pedal dilepaskan. Pemilihan Subaru sebagai rakan teknikal juga adalah tepat kerana Subaru membekalkan sistem X-Mode bagi pemanduan atas lumpur dan juga salji serta ciri Grip Control bagi halaju kurang 10km/jam

Sistem X-Mode dengan Grip Control membolehkan pemandu fokus pada stering sahaja manakala sistem pintar akan mengawal halaju bZ4X ketika menuruni bukit, mendaki atau bergerak atas permukaan licin. Ciri ini juga akan diperkemaskan dengan Downhill Assist Control bagi tujuan menuruni bukit curam.

Panel solar juga akan dipasang pada bumbung mengikut spesifikasi pasaran bagi membolehkan tenaga cahaya matahari mengecaj dan digunakan untuk sistem lain seperti penyaman udara. Panel solar ini membolehkan bZ4X dipandu sejauh 1800km dalam setahun atau 11.7km sehari jika digunakan sepenuhnya

Jika bZ4X diparkir di bawah matahari, panel solar ini akan mengecaj bateri utama atau sewaktu dipandu iaka akan mengecaj bateri bagi sistem penyaman udara bagi mengelakkan beban pada sistem bateri utama

Google ads
Back to top button