Artikel Pilihan

BAW BJ212 – JIP CHINA YANG LEBIH SEJUK (COOL)

Minggu sudah Brader Karrager ada menerbitkan artikel tentang BAW Warrior, pikap China. Yang masih skeptikal dan mengeji boleh tahan juga. Siap ada yang tanya Halal ke? Cubaan untuk sinis macam tak kena gaya. Lainlah kalau mencuri. Pada hal elok aja pakai peranti jalur lebar ZTE sama telefon bimbit cap Huawei. 

BACA : BAW WARRIOR – PIKAP CHINA YANG SEJUK (COOL)

BACA : ALKISAH HONGQI L5 – KERETA MEWAH BUATAN CHINA

Ok lah, selesai kejap tarbiyah. Sekarang ini Brader nak kongsikan, sebuah lagi model dari BAW yang rasanya tidak kurang sejuk (cool) juga. Sekali imbas, BAW BJ212 ini ada iras Jeep. Macam mana boleh ada iras ni, hangpa jangan dok hairan. Zaman dahulu kala sharing is caring orang kata.

Menariknya tentang BJ212 ini, ianya telah berada di pasaran semenjak tahun 1965 lagi dan sehingga kini masih lagi berada dalam kilang untuk diproduksi. Punyalah lama.

Walaupun berlaku perubahan zaman, namun reka bentuk asas BJ212 masih kekal dan tidak banyak bezanya ketika ianya mula menemui penduduk China lama dahulu. Bagus juga kekalkan rekaan klasik sebegini. Walaupun ianya kelihatan agak ortodok bagi sebuah SUV di zaman Makcik Bawang ini, namun percayalah, rekaan serupa inilah kebanyakkan lelaki sejati gemar. Lasak. Geng kunyit dan serai barangkali tidak menggemarinya dan menganggap ianya rekaan yang hodoh dan buruk.

Asalnya, BJ212 ini menggunakan enjin petrol. bersesaran 2445cc. Tapi kini sejajar dengan dunia moden, sudah tentulah jantung yang baharu diperlukan untuk meredah onak duri. Kini, BJ212 ini menggunakan enjin 4G20C yang bersesaran 2.0 liter sambil dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan.

Tahukah bahawa sebelum enjin yang baharu ini diperkenalkan, model ini dilarang untuk dibawa masuk ke Bandar Beijing dek kerana masalah pencemaran yang dihasilkan. Namun, apabila enjin baharu diperkenalkan, kini bakal pembeli tidak perlu khuatir dan boleh memasuki Beijing sambil tersenyum riang.

Bila enjin dah gagah, sudah tentulah setakat hendak meredah hutan belantara waima menyeberang sungai sekali pun bukanlah masalah besar. Panjat divider parkir tepi jalan pun rilek sahaja. Mujur pacuan empat roda yang sedia ada itu mampu beraksi cemerlang.

Berfungsi sebagai sebuah model yang lasak, maka kelengkapan yang ada padanya juga sebenarnya cukup asas. Jangan harap nak ada ABS, mahupun skrin sesentuh. Yang ada pun hanyalah pemain radio. Mujur juga ada USB, boleh juga cucuk pendrive kalau nak dengar lagu Aiman Tino.

Harga yang ditawarkan pula sama masih dalam lingkungan mampu milik. Bermula dengan 60,000 Yuan sahaja (RM36,686). Cukup murah. Tapi orang kita biasalah, bila bab murah ni ramai yang skeptikal sangat. Lekas rosaklah. Itulah. Inilah. Bukan main banyak komplen.

Pada hal nak beli pun jauh dari mampu. Kan?

Google ads

B K

Back to top button