Buletin

BENELLI BANGUNKAN ENJIN 799CC BERKUASA 95HP!

Selepas memperkenalkan dua model TRK baharu iaitu 800 dan 702, Benelli kini dilapor sedang membangunkan model baharu dengan konfigurasi enjin parallel-twin 799cc dan mampu menjana kuasa mencecah 95hp.

Kini, hampir semua pengeluar motosikal memfokuskan usaha untuk kelas 800cc hingga 900cc. KTM, Yamaha, Triumph dan Ducati sudahpun menawarkan segmen ini untuk pasaran motosikal pertengahan mereka. Jadi, Benelli juga tidak mahu ketinggalan!

Menurut Motorrad Online, mereka mendapat maklumat pertama daripada QJ Motor di China bahawa enjin baharu yang dispekulasi untuk menjana model Benelli pada masa hadapan sedang dibangunkan.

Walaupun begitu, masih tidak jelas sama ada enjin baharu itu adalah versi semakan semula enjin Benelli yang sedia ada atau baharu sepenuhnya. Sekiranya angka anjakan dan kuasa itu membuatkan anda terfikir tentang KTM, kemungkinan besar bukan hanya anda berfikir sedemikian.

Ini kerana KTM telah memberi hak enjin 790 LC8 kepada pengeluar China CFMoto yang dipercayai membekalkan enjin untuk TRK702. Ia merupakan enjin sama  yang ada dalam rangkaian motosikal CFMoto 700 CL-X.

Jika Benelli akhirnya menghasilkan motosikal menggunakan enjin baharu itu, ia akan bersaing dengan jentera-jentera seperti CFMoto 800MT, BMW F 850 ​​GS dan mungkin juga menentang KTM 890 Adventure.

Andainya Benelli memasuki pasaran motosikal naked dengan enjin tersebut, model-model seperti Ducati Monster, Yamaha MT-09 dan KTM 890 Duke dilihat mungkin sukar untuk bersaing terutama dari segi kos. Ini kerana Benelli sentiasa mempunyai kelebihan dalam hal penetapan harga.

Google ads
Back to top button