Buletin

GAJI KURANG RM6K, SANGGUP BELI MERCEDES-BENZ C300 UNTUK TEMAN WANITA. CUMA TINGGAL RM450 BELANJA SEBULAN

Dompet binasa gara-gara teman wanita. Mungkin itulah ungkapan paling sesuai untuk seorang lelaki di Taiwan apabila sanggup membeli Mercedes-Benz C300 untuk teman wanitanya meskipun gajinya sebagai pencuci kereta hanya berjumlah RM5,842.

Dengan jumlah gaji tersebut, lelaki itu hanya ada kurang RM450 untuk menampung kos sara hidup sebulan selepas ditolak ansuran bulanan kereta berkenaan. Jadi, dia terpaksa meminta ahli keluarganya untuk membantu membayar ansuran selepas dua bulan tertunggak.

Jika tidak, kereta itu akan ditarik oleh pihak bank dan hubungan dengan teman wanitanya juga putus.

Tidak hanya dibelikan kereta, teman wanitanya itu juga meminta beg Chanel sebagai hadiah hari Krismas selain mahu menempah restoran mahal untuk jamuan makan bersama rakan-rakannya.

Atas sebab tidak mahu ditertawakan oleh rakan-rakan teman wanitanya, dia meminjam hampir RM7,302 daripada adik perempuannya kerana kad kreditnya sendiri telah mencapai had maksimum.

Meskipun marah dengan perangai abangnya itu tetapi dia tak boleh buat apa-apa. Wanita itu mengakui bukan datang dari keluarga yang kaya dan memberitahu dia masih ada beberapa bayaran bil yang belum dijelaskan.

Dia juga sempat bertanya kepada netizen, adakah wanita tersebut lebih sayangkan abang atau kereta Mercedes-Benz?

Namun apa yang pasti, pentingnya untuk mengukur baju di badan sendiri sebelum membuat pembelian apatah lagi ia hanya sekadar gaya hidup. – Automachi

Google ads
Back to top button