Buletin

BENTLEY FLYING SPUR KINI LEBIH BESAR DAN CANGGIH – NAK LAWAN S-CLASS & MAYBACH

Bentley Fying Spur generasi ketiga dikatakan lebih besar dan akan dipasang dengan teknologi keselamatan tambahan. 

Ini kerana pengeluar kenderaan ultra-mewah dari Britain itu mahu bersaing dengan Mercedes-AMG S Class dan Maybach. Flying Spur baharu mengikut reka bentuk Continental GT coupe dan convertible. 

Sedan mewah itu dibina di atas platform MSB yang dibangunkan oleh Porsche dan dilihat lebih sporty.

Tapak rodanya telah ditambah sebanyak 127mm hingga 3,200mm berbanding generasi kedua. Ia juga dipasang dengan lampu utama yang lebih besar, tidak jauh beza dengan model Continental GT. 

Satu lagi perubahan ketara ialah patung Flying B pada hud yang boleh dinaik atau diturunkan secara elektronik. 

Jentera tersebut digerakkan oleh enjin turbo W-12 bersesaran 6.0 liter berkuasa  626hp dan 900Nm tork yang dipadankan bersama kotak gear automatik lapan kelajuan daripada ZF. 

Satu sistem klac berfungsi menyalurkan kuasa ke gandar belakang, bergantung kepada kondisi jalan.

Jika tayar tergelincir, kuasa turut dihantar ke roda hadapan untuk membentuk pacuan semua roda (AWD) aktif. Antara sistem keselamatan aktif standard termasuklah Traffic Assist, City Assist dan amaran titik buta. 

Ruang kabin pula tampil dengan paparan papan pemuka yang boleh dipusing. Maksudnya, dengan hanya menekan satu butang, pemandu boleh memilih di antara skrin sentuh bersaiz 12.3 inci, tiga meter analog pada kemasan kayu atau tiada paparan langsung.

Pelanggan juga boleh memilih untuk memasang bumbung panoramik sepenuhnya. 

Tempahan Flying Spur akan dibuka tidak lama lagi dengan penghantaran dijadual bermula tahun depan.

Pada masa sekarang, pasaran terbesar Flying Spur ialah di Amerika Syarikat, diikuti oleh China, Eropah dan United Kingdom. 

Google ads
Back to top button