Buletin

BERAPA YANG ANDA SANGGUP BAYAR UNTUK SEBUAH BMW E30…….M3?

Harga untuk kebanyakan kereta di pasaran pastinya akan jatuh, bermula dari detik ia keluar daripada pejabat jualan. Tapi di dalam pasaran kereta klasik, lain pula halnya. Bagi peminat kereta klasik, harga-harga untuk model-model klasik ikonik dari era 80an telah mula melambung tinggi dan berjaya mengatasi harga asal jualannya ketika baru! Kereta klasik kini dilihat sebagai satu bentuk perlaburan untuk mendapat keuntungan yang tinggi.

Satu contoh terbaik boleh ditemui di laman web bringatrailer.com. Web ini adalah pusat di mana peminat kereta olskool berkongsi maklumat kereta yang di lelong di seluruh dunia. Tidak seperti kereta baru, kereta klasik mengumpul skala peminat yang cukup besar, merentasi benua. Sumber yang diperolehi juga tidak dapat dijangka dari mana.

bmw e30 m3 (4)

Kami tertarik dengan kondisi sebuah M3 iaitu sebuah BMW E30 M3 keluaran tahun 1989 yang sedang dibuka bidaannya untuk lelongan. Bagi peminat kereta klasik dari era ini, BMW M3 ialah sebuah ikon permotoran yang ketika itu bersaing dengan model-model berprestasi tinggi seperti Mercedes Benz 190E Cosworth, Audi Quattro, Lancia Delta Integrale dan Ford Sierra RS500.

Model yang hendak dilelong ni boleh dikatakan berada di dalam kondisi yang amat baik, dan tak salah kalau dikatakan, ia nampak seperti baru keluar dari kilang. Kereta ini yang berada di negara Jepun mencatat batuan yang cukup rendah, iaitu 54,000 batu atau 87,000 kilometer. M3 ni boleh dikatakan masih standard dari segala segi, terutamanya enjin S14 2.3 liternya yang mempunyai resit penyelenggaraan dari BMW Tokyo sejak tahun 1991 sehingga ke hari ini.

bmw e30 m3 (6)

Segala panel dan bodykit asal M3 ni masih di dalam keadaan yang cukup baik, dengan cat Lachssilber Metallic asalnya masih bersinar seperti baru. Satu-satunya modifikasi yang dilakukan terhadap BMW ini ialah pada sistem gantungannya, di mana penyerap hentak asalnya telah diganti dengan penyerap hentak sports dari Bilstein.

Bahagian dalaman M3 ini jugak kelihatan seperti baru, di mana papan pemukanya masih utuh tanpa sebarang retakan (masalah agak biasa untuk BMW era ini) dan tempat duduk asalnya masih dibalut dengan kemasan kulit berwarna hitam yang hadir bersama-sama kereta ini daripada kilangnya di Jerman. Modifikasi bahagian dalaman BMW M3 ini adalah minimal, di mana stereng asalnya telah ditukar kepada stereng sports M-Technic dan unit audionya dinaik-taraf kepada pemain CD daripada Panasonic.

bmw e30 m3 (10)

Buat masa ini, nilai bidaan yang diterima ialah USD31,991.00 (RM128,221.50) dengan tinggal hanya 2 hari lagi untuk masa bidaan. Kalau korang minat, boleh la mencuba membida untuk kereta ini. Tapi ingat, harga tu belum masuk lagi kos AP dan cukai wei!

 

bmw e30 m3 (5)bmw e30 m3 (13)bmw e30 m3 (1)bmw e30 m3 (3)bmw e30 m3 (11)bmw e30 m3 (9)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button