;
Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: SISTEM SUSPENSI

Secanggih mana pun sesebuah kereta masih bergantung pada sistem suspensi kenderaan untuk memindahkan pergerakan kereta pada permukaan jalan. Melainkan jalan di negara kita sangat licin seperti litar antarabangsa Sepang, maka kita memerlukan sistem suspensi untuk menyerap segala hentakan yang diterima pada permukaan jalan samaada bonggol, lubang dan juga memindahkan “weight transfer” ketika kereta mengambil selekoh, membrek dan juga memecut. Tanpa sistem ini, semua pergerakan dan juga hentakan yang diterima oleh cesi akan dipindahkan terus pada penumpang.

Sistem suspensi kereta/kenderaan terdiri daripada tayar, spring, penyerap hentakan (shock absorber) dan sambungan mekanikal antara roda dan cesi. Sambungan mekanikal ini membenarkan pergerakan secara relatif antara roda dan cesi serta mengasingkan pergerakan tersebut agar penumpang kekal selesa.

Antara fungsi sistem suspensi ialah:
1. Memastikan kesemua tayar bersentuhan dengan permukaan jalan bagi mendapat cengkaman untuk memecut, membelok atau membrek
2. Mengasingkan dan menyerap segala bunyi, getaran dan kekasaran dari permukaan jalan dari meresap masuk ke dalam kabin
3. Meminimakan pergerakan cesi semasa rolling(selekoh), dive(membrek) dan squat(memecut)

Antara komponen utama sistem suspensi

Tayar- menyediakan contact patch antara permukaan jalan dengan permukaan tayar dan cengkaman. Cengkaman ini sangat diperlukan semasa membrek, memecut dan membelok

Spring- memastikan tayar sentiasa bersentuh dengan jalan. Sekiranya tayar melalui lopak atau bonggol, spring bertindak dengan menerima impak dari perubahan kedudukan tayar samaada ke atas atau ke bawah

Dalam kes ini, cesi berada di atas spring dinamakan sebagai sprung mass

Roda yang berada di bawah spring dinamakan sebagai unsprung mass

Penyerap hentakan- sekiranya spring menerima impak, sifat spring ialah ia akan tetap berayun sehingga kehabisan tenaga. Bagi mengelakkan spring berayun terlalu lama, penyerap hentakan dipadankan dengan spring.

Penyerap hentakan ini biasnya dikelaskan kepada gas (pneumatic) ataupun cecair (hidraulic).

Sambungan Mekanikal – ataupun mechanical linkage, menyambungkan sistem cesi dengan spring, absorber dan roda. Sistem ini terbahagi kepada dua, indipendent system dan dependent system

Hooke Law

Tidak lengkap kalau kita bercerita mengenai spring tanpa Hooke Law yang boleh dijadikan ukuran untuk mengetahui kekuatan relatif spring. Hukum Hooke menjelaskan:

F= K . X

Di mana F merupakan daya yang diperlukan untuk memampatkan atau memanjangkan spring, X merupakan jarak spring yang dimampatkan dan K merupakan pekali Spring

K atau pekali spring boleh dikira berdasarkan rumus seperti di bawah

k={\frac {d^{4}G}{8ND^{3}}}\,

d – diameter besi yang digunakan untuk membentuk spring

G-Shear Modulus, Tekanan yang diperlukan untuk mengubah material. Nilai boleh berubah mengikut bahan yang digunakan

N-Bilangan gelung

D-Diameter gelung spring

Dependent system

Dalam sistem ini, mekanisma suspensi bagi tayar di bahagian kiri dan kanan cesi akan disambungkan dengan satu bar besi. Sebarang pergerakan di roda kanan akan mempengaruhi pergerakan di roda kiri dan sebaliknya. Disebabkan camber bagi suspensi ini sentiasa dalam keadaan tetap, sistem ini banyak digunakan oleh kenderaan komersial dan lori untuk membawa beban yang berat

Kelemahan sistem ini ialah, pergerakan mekanikal komponen akan menyebabkan jarak antara roda kereta berubah terutama jika melalui selekoh yang berbonggol atau berlubang. Kereta terasa seperti berjoget sedikit menyebabkan pemandu terasa seperti kurang stabil.

Salah satu contoh ialah sistem ini ialah
-torsion beam axle biasa digunakan untuk kereta sedan ekonomi atau kereta kompak. Disebabkan rekaannya yang ringkas, maka ia menawarkan ruang kargo yang lebih besar. Namun kebanyakan pengeluar menggunakan sistem ini kerana ia lebih murah untuk dihasilkan. Namun jika dipadankan dengan cesi yang mantap, hasilnya boleh dipuji seperti Renault Clio RS

Namun sesetengah model menggabungkan sistem ini dengan bar penstabil seperti di bawah. Perodua Kelisa dan Nissan Sentra antara kereta yang menggunakan suspensi jenis ini. Myvi D20N turut menggunakan suspensi ini namun susunannya sedikit berlainan.

5 Link suspension mula ditawarkan pada kenderaan pacuan 4 roda seperti Navara dan menawarkan lebih keselesaan berbanding dengan suspensi Leaf Spring

Suspensi Leaf Spring banyak digunakan oleh lori dan juga pacuan empat roda. Ia mampu membawa beban yang lebih berat dengan mengorbankan keselesaan penumpang.

Indipendent System

Dalam sistem ini, pergerakan mekanisma suspensi bagi roda kiri dan kanan telah diasingkan antara satu sama lain. Sebarang pergerakan antara roda kiri tidak akan mempengaruhi roda kanan dan sebaliknya. Walaubagaimanapun, sistem ini menggunakan rod sambungan yang lebih kompleks berbanding dengan sistem dependent

Disebabkan ia lebih kompleks, sistem ini menawarkan lebih kawalan geometri bagi jurutera. Ia memberikan kelebihan dari segi keselesaan, kestabilan dan juga kawalan pemanduan yang lebih bagus. Namun disebabkan komponen mekanikalnya bertambah, maka kos pengeluaran akan meningkat.

Antara Contoh sistem ini ialah:

Double wishbone suspension memiliki 2 lengan iaitu lengan atas dan bawah. Apabila melalui bonggol, geometri suspensi akan kekal menawarkan kestabilan terutama ketika melalui selekoh kerana jarak antara roda kenderaan kekal.

Suspensi McPherson popular untuk digunakan pada gandar depan kerana sistemnya lebih ringkas berbanding dengan Double Wishbone. Jadi ruangan enjin boleh dikekalkan dan kos penghasilan menjadi rendah

Multilink suspension merupakan variasi daripada sistem Double Wishbone namun memiliki lengan pengawal atau control arm yang lebih banyak. Tujuannya agar kawalan roda dapat dilakukan dengan lebih sempurna. Ia biasa digunakan oleh kereta yang mementingkan pengendalian seperti Proton dan juga BMW.

Kedua dua jenis sistem ini akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam post seterusnya. Setiap sistem mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri dan akan diulas lebih lanjut dalam artikel akan datang.

Tags
Google ads
Back to top button