Pandu Uji

BMW 530i M SPORT LCI, SEDAN YANG HAMPIR SEMPURNA

20 tahun lepas jika kami mengatakan bahawa BMW adalah sebuah sedan yang amat selesa dipandu mungkin ada pembaca beranggapan bahawa kami sudah gila. Ya sebuah BMW mungkin sangat sedap dipandu deras di jalan lurus dan tangkas di selekoh, dengan mengorbankan keselesaan.

Jika anda mahukan sebuah sedan yang selesa, pastikan anda beli jenama lain bukannya BMW. Naratifnya begini, untuk pengendalian mantap sebuah sedan mestilah datang dengan pusat graviti yang rendah. Spring akan direndahkan, dikeraskan dan menyebabkannya penumpang agak terhenjut-henjut ketika jalan tidak rata.

Tapi pengalaman pemanduan model BMW 530i M Sport membuktikan ia adalah spesis yang berlainan daripada model BMW yang lain. Ia kekal tangkas di selekoh dan sangat cemerlang dalam aspek keselesaan. Ia sebuah kereta yang ada magik, kata Abam Jaapar

Sebenarnya jenama BMW bukanlah dekat sangat di hati penulis kerana, pertama ia adalah kereta mewah mahal dan kedua kebanyakan pemandu BMW suka mencucuk belakang kereta lain di lebuhraya. Malah kereta BMW yang pertama dipandu oleh penulis ialah Toyota Supra yang diasaskan daripada BMW Z4

Tapi selepas 4 hari memandu uji BMW 530i M Sport, kalau penulis ada duit RM 372,000 penulis akan beli kereta ini tanpa fikir panjang. Sangat sukar untuk mencari sebarang kecacatan pada model ini. Atau jika anda mahukan sebuah kenderaan mesra alam, boleh pilih 530e M Sport Plug in Hybrid

Model hibrid berharga sekitar RM 322,000 sahaja, lebih murah kerana insentif cukai daripada kerajaan bagi menggalakkan pemilikan kereta mesra alam. Berbalik pada model 530i M Sport, anda akan terkejut kerana ia sebuah sedan eksekutif mewah yang sedap dipandu dan mesra penumpang serta jauh berbeza dengan BMW zaman dulu yang keras melantun-lantun

Bahagian depan model Life Cycle Impulse ini mengenakan rekaan kidney grille yang sedap mata memandang, tak besar sangat seperti model BMW terkini. Ia diapit dengan sepasang lampu LED Laserlight dengan teknologi adaptif dan LED Matrix.

Lampu ini berupaya mengesan kawasan gelap dan menyuluh lampu ke arah tersebut. Malah lampu akan disuluh terus mengikut sudut pergerakan arah stering, memang satu pengalaman yang mewah bila pandu waktu malam dengan suluhan lampu terang sehingga 650 meter

Jika diperhatikan dengan jelas anda akan nampak 530i M Sport ini sangat panjang, dengan jarak antara roda menjangkau 2970mm. Asas rekaan panjang sebegini ialah untuk meletakkan komponen enjin dan transmisi di bahagian belakang gandar depan, atau disebut juga Front Mid Engine untuk agihan berat yang sekata

Oh ya 530i ini kekal dengan prinsip asas BMW, enjin depan pacuan belakang. Jadi anda akan dapati bahawa tayar belakang bersaiz 275/35 R19 berbanding dengan tayar depan 245/40 R19. Rim menggunakan rekaan Y Spoke Style 845M, tapi pada hemat penulis ia agak kelihatan kurus.

Untuk bahagian belakang, anda boleh membuka ruang kargo sebesar 530 liter dengan menggunakan sensor kaki yang paling senang beroperasi. BMW menggunakan pacuan belakang dan ditemani dengan suspensi Multilink, maka 530 liter ruang kargo adalah munasabah

Ia disudahkan dengan lampu belakang jenis 3D Shapes yang terang dan juga diffuser ekzos yang original dan berfungsi. Secara keseluruhan bahagian luar adalah kemas dan menepati citarasa rekaan BMW dan disulami dengan logo M Sport

M Sport di sini membawa maksud model ini dipasang dengan pelbagai aksesori BMW M yang lain seperti roda stering sport 3 spoke yang sedap digenggam, Scuff Plate pintu aluminium, pedal minyak M aluminium, pedal brek M Aluminium, balutan kusyen Dakota dan juga headlining berwarna hitam.

Menjengah ke ruangan enjin dan anda akan jumpa unit B48 4 silinder 2000cc dengan turbo skrol berkembar, enjin yang sama dengan Toyota Supra 2000cc. Di sini enjin B48 menghamburkan 252 kuasa kuda dan 350Nm tork sebelum semua kuasa dihantar ke roda belakang menerusi transmisi 8 kelajuan automatik ZF

Magik yang kedua dipaparkan oleh BMW ialah kecekapan bahan api yang dizahirkan oleh trenkuasa ini. BMW melaporkan enjin ini berupaya menunjukkan penggunaan bahan api sekitar 14.9km per liter, tidak jauh berbeza dengan dapatan penulis pada 13.3km per liter.

Malah berat BMW 530i ini sendiri mencecah sehingga 1700kg, kurang ideal untuk pemanduan di bandar melainkan ia ditemani dengan sistem Start/Stop. Rekaan dalam pula ada tipikal sebuah BMW, sofistikated dengan penggunaan plastik lembut, material yang nampak dan rasa mewah.

Penulis tidak perlu komen banyak di sini melainkan apa yang BMW persembahkan di sini adalah adil dengan harga RM 372,000. Malah pemandu dan penumpang juga akan menerima:

1. Sistem kunci pintu yang akan membuka kunci secara automatik bila ia mengesan kehadiran kunci dan menyalakan puddle lamp

2. Pengecas tanpa wayar, 1 poin USB biasa, 3 poin USB jenis C dan 2 poin punca kuasa elektrik 12 Volt

3. Sistem i-Drive dengan operating system BMW terbaru yang menyokong Apple Car Play dan boleh memainkan lagu kegemaran anda menerusi 16 pembesar suara dari jenama Harmon Kardon. Memang sedap talaan pembesar suara 464 watt ini, tak perlu ubah apa-apa tetapan pada unit multimedian

4. Meter digital yang terang serta unit Head Up Display yang memaparkan semua maklumat penting dalam satu masa

5. Rekaan papan pemuka dengan semua suis penting diposisikan pada tempat yang senang dicapai. Malah dengan sekali imbas anda boleh tahu status sistem penting seperti sistem keselamatan aktif yang memaparkan warna hijau jika semua sistem dihidupkan

6. Penyaman udara 4 zone dengan semua zon boleh mengawal suhu, mematikan penyaman udara dan mengubah kekuatan kipas masing-masing. Bahagian belakang diberikan 4 corong penyaman udara, 2 di konsol tengah dan 2 lagi di tiang B

7. Pencahayaan kabin – kalau memandu pada waktu malam, bahagian dalam akan dilimpahi dengan cahaya berwarna oren lembut daripada papan pemuka, panel pintu dan ruang simpanan turut dipasang dengan lampu

8. Tirai cermin belakang boleh dibuka dan ditutup dengan menggunakan suis. Tirai cermin sisi pula dipasang dengan lengkap dengan tirai termasuklah bahagian quarter glass.

BMW 530i M Sport dipadankan dengan 3 mode pemanduan samaada ECO, Comfort ataupun sport. Sama seperti sedan buatan Jerman yang lain, tetapan sebegini akan merubah talaan operasi enjin, penukaran gear, respon stering dan juga kekerasan penyerap hentak.

Seperti biasa penulis akan kekal dengan mode Comfort sepanjang masa. Berbeza dengan jenama lain, operasi enjin dan transmisi adalah sangat lembut dan terasa mahal. Biarpun anda menekan pedal rapat ke lantai, 530i tidak akan sesekali menyentak keras

Sebaliknya ia memecut dengan cermat sedikit demi sedikit sehingga anda tak perasan anda sudah laju sebenarnya. Memang real gentleman operasi enjin yang dilakukan. Operasi brek memang ada gaya sporti, dengan sedikit sahaja tekanan pada pedal 530i akan membrek laju tapi tidak akan buat anda rasa gementar.

Ujian yang penulis lakukan bagi menguji keseluruhan aspek pemanduan 530i adalah bermula dari Simpang Pulai menuju ke Kampung Raja, Cameron Highland dengan perjalanan mengambil masa sekitar 45 minit. Mungkin kalau tiada bas dan lori sayur, masa perjalanan lebih pendek.

Laluan mendaki, menuruni bukit diikuti dengan selekoh pendek serta panjang tidak mampu menggentarkan cesi 530i. Kadang kala ia bergabung, naik bukit selekoh dan turun bukit pun selekoh. Ambil selekoh panjang pada angka 3 digit pun keadaan dalam kabin kekal tenang di laluan mendaki 2 lorong.

Keadaan selekoh bukanlah selicin laluan lebuh raya berbayar, ia diselang seli dengan permukaan jalan tidak rata, berbonggol dan berlubang. BMW 530i menunjukkan 2 sifat pengendalian yang bertentangan di sini. Di selekoh ia kekal tajam, halakan stering pada sudut yang dikehendaki dan cesi akan ikut dengan segera

Pada masa yang sama, permukaan jalan tidak rata dan lubang dilalui dengan bersahaja bagaikan sedan yang khusus untuk keselesaan. Di bahagian selekoh tidak rata, amat susah sekali untuk bahagian belakang cesi mengalami “bump steer“. Sungguh magik apa yang BMW buat di sini

Kusyen yang digunakan di bahagian depan mengaplikasikan rekaan semi bucket tapi sangat selesa untuk perjalanan jarak jauh. Sokongan pada upper back dan lower back adalah cukup selesa, tak sama dengan kereta lain yang pernah diuji oleh penulis

Anda boleh ubah kedudukan, ketinggian, panjang sokongan bahagian paha, serta perehat kepala boleh diubah ke depan dan ke belakang. Apa yang mengagumkan lagi ialah, perehat kepala tengah di bahagian belakang boleh dilipat jika tidak digunakan bagi memudahkan anda melihat ke belakang sewaktu memandu

Owh ya, anda boleh ubah saiz bolster atau pelukan kusyen pada badan anda. Iye la, kalau ambil selekoh laju-laju barulah badan melekap tak tergolek.

Untuk aspek keselamatan, 530i M Sport datang dengan sistem pemanduan adaptif yang boleh beroperasi ketika kesesakan jalan, amaran perlanggaran dalam 2 tahap, sistem amaran titik buta dengan amaran getaran pada steering, Lane Centering Assist, dan juga Rear Cross Traffic Alert

Satu perkara yang menarik ialah 530i juga dipasang dengan sistem Start/Stop yang boleh beroperasi dengan sistem pemanduan adaptif. Jika anda sedang menggunakan ACC dan kereta sedang berhenti dalam kesesakan jalan raya, sistem Start/Stop akan diaktifkan

Tapi sebaik sahaja ACC mengesan kereta di hadapan anda sudah bergerak ke depan, Start/Stop akan menghidupkan enjin anda serta merta dan meminta anda menyambung semula perjalanan dengan menekan butang RESUME. Bijak kan.

Penulis hampir tiada apa-apa komen untuk ditulis melainkan terpaksa mencari juga satu dua komen bagi mengelakkan kami dicop berat sebelah. Pertama penulis sangat berkenan kalau kusyen depan dipasang dengan kipas pengaliran udara sejuk.

Kedua 530i M Sport tidak menyediakan tayar gantian mahupun tayar kecemasan dalam ruang kargo belakang. Ia hanya menyediakan kit pembaikan tayar yang mudah bagi mengatasi masalah tayar pancit sama seperti kebanyakan jenama kereta yang dijual sekarang.

Kalau anda ada duit, boleh cuba pandu uji BMW 530i M Sport ini segera. Kalau tak ada duit, berangan dulu sikit-sikit dan jadikan gambar kereta ini sebagai wallpaper di telefoin pintar anda. Kalau penulis ada duit, hari ini jugak akan sambar sebiji.

Google ads
Back to top button