Buletin

BMW DAN TOYOTA BEKERJASAMA HASILKAN KENDERAAN SEL BAHAN API HIDROGEN

Sedar atau tidak, sudah lebih sedekad BMW dan Toyota bekerjasama. Kolaborasi itu menghasilkan model Supra dan Z4, tetapi hubungan mereka berjalan lebih dari sekadar kereta sports.

Malah, kedua-dua pengeluar berpengaruh akan mula membina dan menjual kenderaan sel bahan api hidrogen selepas tahun 2025. Pieter Nota, ketua jualan BMW mendedahkan maklumat itu dalam temu bual bersama Nikkei Asia.

Nota tidak memberikan butiran tentang kenderaan sel bahan api baharu tersebut, tetapi dia memberitahu bahawa BMW melihat hidrogen sebagai ‘bahan api yang relevan untuk SUV lebih besar.’ Khabar angin mengatakan BMW berminat untuk menambah kuasa hidrogen pada X7 nanti.

Walau bagaimanapun, pelanggan tidak perlu menunggu tiga tahun lagi untuk menikmati kenderaan sel bahan api BMW yang baru. Ini kerana model konsep Hidrogen iX5 yang diperkenalkan oleh pembuat kereta itu pada Pameran Motor Munich tahun lepas akan memulakan pengeluaran terhad bermula lewat tahun ini.

Fokus BMW pada teknologi sel bahan api membolehkan syarikat itu meningkatkan pelaburannya sambil terus membiayai enjin pembakaran dalaman dan kenderaan elektrik. Infrastruktur EV masih ketinggalan dan tidak diagihkan sama rata di kebanyakan pasaran.

Walau bagaimanapun, infrastruktur untuk hidrogen hampir tidak wujud. Pengeluar kereta Jerman itu mahu 50 peratus daripada jualan kereta baharu kumpulan itu adalah EV menjelang 2030, termasuk jenama Mini dan Rolls-Royce.

Hidrogen iX5 baharu dikatakan mempunyai kuasa 168hp dan dilengkapi dua tangki hidrogen seberat enam kilogram. Rangkaian kuasa itu juga boleh menghasilkan sehingga 369hp, tetapi BMW memilih untuk mengutamakan kecekapan berbanding prestasi.

Toyota mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan sel bahan api hidrogen. Jadi, tindakan BMW bekerjasama dengan pembuat kereta Jepun bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Syarikat itu mula membangunkan teknologi itu pada tahun 1992, kemuncaknya ialah apabila Mirai yang dihasilkan secara besar-besaran memasuki pasaran pada 2015. FCV itu menerima kemas kini penting daripada Toyota menerusi model generasi kedua pada tahun 2021. Nota membayangkan bahawa terdapat projek lain BMW dan Toyota sedang diusahakan bersama.

Google ads
Back to top button