Buletin

BMW M SAMBUT ULANG TAHUN KE-50. BMW GROUP MALAYSIA CARI MODEL M TERTUA DI NEGARA

BMW Group Malaysia mencari model BMW M tertua bagi setiap siri model di dalam negara sempena ulang tahun ke-50 BMW M GmbH pada 24 Mei ini.

Para pemenang berpeluang membawa pulang hadiah BMW M serba eksklusif dan jentera mereka akan diberi sorotan oleh BMW Group Malaysia.

Bagi setiap siri model BMW M, seorang pemenang akan dipilih dan bakal menerima hadiah-hadiah istimewa.

Penyertaan akan ditutup pada 8 Jun 2022.

Sejarah BMW M

Jenama M merupakan jentera legenda BMW bermula daripada M1 hingga BMW M8 yang serba mewah.

Model-model ini merupakan perintis dalam era dan segmen masing-masing, dalam memperkasa DNA M.

Tidak asing dengan arena sukan permotoran pada tahun 60-an dan 70-an, BMW Motorsport GmbH pada asalnya diperkenalkan untuk melicinkan penglibatan pengeluar kenderaan premium ini dalam dunia pemanduan prestasi.

Selain itu, ia juga bagi memenuhi permintaan para pemandu dalam pertandingan di mana kebanyakan kenderaan disediakan dan dijual oleh syarikat penala ketika itu.

Divisyen tersebut memulakan operasi dengan 35 orang kakitangan pada tahun 1972.

Kereta pertama diusahakan pasukan tersebut merupakan 3.0CSL yang telah dibangunkan untuk Kejohanan Kereta Jelajah Eropah.

Jentera berkenaan berjaya mendominasi kejohanan tersebut pada setiap tahun dari 1975 hingga 1979.

Bahkan, merupakan model bagi dua kereta contoh BMW Art Cars pertama yang mendapat sentuhan dua orang artis terkenal, Alexander Calder dan Frank Stella.  

BMW M1

Jentera BMW M1 yang diperkenalkan pada tahun 1978 muncul sebagai model M pertama malah diberi jolokan sebagai Bapa BMW M.

Ia mendapat khidmat enjin sebaris 6 silinder berkuasa tinggi malah menjadi pemain utama dalam dunia automotif sejak didedahkan kepada khalayak.

Sebanyak 456 unit sahaja dikeluarkan dan dinobatkan sebagai kenderaan sport jalan raya  terpantas di Jerman (264.7km/j).

Jika dibandingkan, angka ini sebenarnya lebih rendah berbanding jentera versi perlumbaan dengan kelajuan maksimum mencecah lebih 300km/j dikemudikan Niki Lauda untuk memenangi tiga perlumbaan BMW M1 ProCar.

BMW M3  

Model yang ‘dilahirkan’ pada tahun 1986 melakar sejarah tersendiri bagi BMW Group.

Ia didatangkan enjin sebaris 4 silinder, 16 injap dengan kapasiti 2.3 liter berserta 200 kkb dan dipertingkatkan kepada 235 kkb menerusi model-model Sport Evolution.

BMW M3 sekali gus berjaya mendominasi litar lumba dan menunjukkan kecemerlangan di atas jalan raya.

Apabila kereta tersebut didedahkan di IAA, Frankfurt pada tahun 1985, ia telah menjadi sensasi dan muncul sebagai salah sebuah kenderaan BMW M3 paling ikonik atas kemenangan dalam pelbagai kejohanan perlumbaan kereta jelajah.

BMW M5

Pada tahun 1985, siri BMW M5 (E28) telah membentuk asas bagi kelahiran sebuah legenda automotif.

BMW M535i telah digunakan sebagai penanda aras dalam kelas sedan bisnes, yakni sebelum BMW E28 diperkenalkan.

BMW M5 telah merintis kesinambungan antara aspek prestasi tinggi dan elegan dalam segmennya.

Jentera didatangkan enjin 3.5 liter sebaris dengan 6 silinder mampu menjana 286 kk.

Pada awalnya, enjin berkenaan dibangunkan untuk jentera BMW M1.

Menariknya, seluruh generasi BMW E28 telah dibangunkan menggunakan tangan sehingga tamat produksi.

BMW M6

BMW M635CSi merupakan antara model yang paling signifikan dalam sejarah BMW M.

Pada tahun 1984, jentera empat tempat duduk itu meneruskan konsep enjin sebaris 6 silinder berprestasi tinggi yang dibawakan oleh BMW M1 beberapa tahun lebih awal.

Ia digelar ‘Sharknose’ dan ‘Bayern-Express’, ‘Enam’ yang pertama telah berada dalam produksi selama lebih 13 tahun bermula pada 1976 hingga 1989 sekali gus menjadikan siri kenderaan BMW dengan tempoh produksi paling lama.

BMW M2

BMW M2 (F87) muncul sebagai jentera kompak BMW M terbaharu pada tahun 2016.

Ia seakan-akan BMW M2 Coupé dipadankan komponen apron hadapan rendah dengan salur masuk udara bersaiz besar, pengapit berserta gril ‘kidney’ M dan set roda aluminium 19 inci dalam reka bentuk dwiruji M.

Selain itu, ia juga dilengkapi sistem ekzos berkembar ‘M-specific’ yang rendah dan lebar, sistem pacuan roda belakang BMW M serta enjin N55 straight-six.

Enjin ini pada asalnya merupakan versi ditala yang dimuatkan dalam BMW M235i, manakala pistonnya pula diambil daripada BMW M3 (F80) / BMW M4 (F82).

BMW M4

Buat julung kali, BMW M4 (F82) diperkenalkan di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara (NAIAS) pada tahun 2014 bergandingan bersama BMW M3 generasi kelima.

Pada waktu itu, BMW M GmbH memutuskan untuk mengasingkan nama Coupé dan Convertible daripada Sedan tersebut yang terus disebut BMW M3.

Ia dilengkapi keupayaan pacuan roda belakang dan enjin pengecas turbo yang sama seperti BMW M3.

Pada tahun 2016, Competition Package telah diperkenalkan dan ia menawarkan penambahbaikan bagi komponen jentera berkenaan.

BMW M8

Pada awal tahun 1990-an, para jurutera BMW telah membangunkan prototaip BMW M8 berdasarkan BMW 8 Series Coupé (E31).

Bagaimanapun, BMW M8 yang pertama tidak pernah dilancarkan selama hampir dua dekad sehinggalah tahun 2010.

Apa yang menjadikan prototaip BMW M8 (E31) luar biasa ialah enjin 6 liter yang dimuatkan di dalamnya.

BMW X5 M dan BMW X6 M

BMW M telah mempersembahkan barisan SAV pertama 15 tahun lalu.

BMW X5 M dan BMW X6 M didatangkan sistem pacuan roda belakang, pengecas turbo, casis diberi penalaan sport serta enjin berkuasa tinggi.

Pada tahun 2019, kesinambungan DNA BMW M telah dikembangkan termasuk pada jentera BMW X3 M Competition dan BMW X4.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser berkata M kekal sebagai huruf yang terunggul di dunia kerana ia melambangkan barisan jentera berprestasi tinggi jenama BMW yang terlahir daripada jiwa sukan permotoran yang tulen.

“Setelah 50 tahun, kami sangat teruja untuk meraikan legasi BMW Motorsport GmbH bersama para pemilik dan peminat di negara ini,” katanya.

Google ads
Back to top button