Motosikal

BMW MOTORRAD PERKENAL BMW G 310 R – RM26,900 SEUNIT, MOTOSIKAL BMW PALING MURAH! 

BMW Motorrad Malaysia dijadual memperkenalkan tiga motosikal premium – BMW G310R serba baharu, BMW S1000R dan BMW R1200GS Adventure baharu pada Pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS Trophy 2017 Malaysia Asia Tenggara pada hujung minggu ini, Sabtu, 12 dan Ahad, 13 Ogos 2017 di Sepang Motorcross Track.

Sedia maklum bahawa BMW G310 R sememangnya menjadi model adventure kecil yang ditunggu-tunggu. Sejak tahun lepas lagi, BMW Motorrad Malaysia sudah menyatakan niat untuk memasarkan model roadster itu ke pasaran tempatan.

Penantian itu kini berakhir. Lebih menarik lagi, anda boleh memiliki jentera tersebut pada harga hanya RM26,900 (di atas jalan tanpa insurans, termasuk 6% GST). Sekali gus menjadi motosikal BMW paling murah di pasaran!

BMW G 310 R – Roadster BMW bawah 500 cc.

Dikuasakan oleh enjin silinder tunggal dengan penyejukan cecair, empat injap, dua  overhead camshaft dan pancitan bahan elektronik bersesaran 313cc, ia menjanjikan prestasi dinamik dan selesa. Sama ada ketika ditunggang di bandar atau laluan kampung.

Dengan output kuasa 34hp pada 9,500rpm dan tork maksimum 28Nm pada 7,500rpm, enjin G 310 R memang cukup berkuasa apabila dipadankan dengan jentera seberat 158.5 kilogram itu. G 310 R menggunakan suspensi fork jenis upside-down di hadapan dan lengan ayun aluminium bersama topang gegelung di belakang.

BACA: BMW G310 R: KOLABORASI TVS-BMW

Sama seperti semua motosikal BMW, G 310 R baharu dilengkapi sistem brek ABS dua saluran sebagai ciri standard. Roda hadapan dipasang dengan brek cakera tunggal bersama angkup empat omboh dan cakera brek berdiameter 300mm. Pada roda belakang, fungsi ini disempurnakan oleh angkup terapung 2 omboh bersama cakera brek bersaiz 240 milimeter.

Kluster instrumen G 310 R terdiri daripada paparan cecair kristal yang memaparkan pelbagai maklumat dengan jelas. BMW G 310 R bakal berada di semua bilik pameran sah BMW Motorrad mulai minggu depan.

BMW S 1000 R

BMW S 1000 R baharu mengetengahkan enjin empat silinder sebaris bersesaran 999cc. Dihasil untuk memenuhi semua piawaian EU4, jentera baharu BMW Motorrad itu mampu menjana kuasa 165hp pada 11,000rpm (sebelum ini 160hp). Dengan menggunakan peredam HP titanium sebagai standard, S 1000 R kini menghasilkan bunyi yang lebih mengujakan.

BMW S 1000 R kini didatangkan dalam dua warna tambahan iaitu kelabu (Catalano Grey) dan merah/hitam (Racing Red/Black Storm). Selari dengan kejuruteraan masa depan BMW Motorrad, roadster itu hanya seberat 205kg, 2kg lebih ringan berbanding model terdahulu. Pengurangan berat itu hasil daripada penggunaan peredam ekzos HP Titanium yang dipasang sebagai satu ciri standard.

BMW S 1000 R juga menampilkan ciri penyahgetaran pada bar hendal. Sekali gus menawarkan pengendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Jentera itu menawarkan dua mode tunggangan dan ASC (Automatic Stability Control) sebagai ciri standard. Dengan mode tunggangan “Rain” dan “Road”, kuasa dan tork boleh disesuaikan untuk mengawal maklum balas ciri Race ABS serta ASC dalam apa jua kondisi.

BMW S 1000 R ditawarkan pada harga RM92,900 seunit (di atas jalan tanpa insurans, termasuk 6% GST).

BMW R 1200 GS Adventure

Sama seperti semua model BMW Motorrad yang menggunakan enjin boxer dengan sistem penyejukan cecair, BMW R 1200 GS Adventure juga telah dibangunkan dengan satu peredam getar pada aci output transmisi. Ciri baru termasuklah satu pemilih gerak gelendong yang telah ditambah baik, aci transmisi, galas aci transmisi dan lampu indikator OBD pada kokpit.

Buat pertama kalinya, “Triple Black” – versi khas BMW R 1200 GS diperkenalkan. BMW Motorrad Malaysia memenuhi hasrat ramai pelanggan dengan membawakan model travel enduro ini dalam kemasan serba hitam.

Perincian terhadap aspek teknikal diserlahkan menerusi kerangka hadapan dan belakang dalam warna kelabu (Agate Grey) bersama kombinasi enjin, kotak gar dan lengan ayun berwarna hitam.

Tempat duduk baharu berwarna hitam dihiasi dengan sulaman GS pada bahagian empat duduk pembonceng. Ia boleh anda miliki pada harga RM116,900 seunit (di atas jalan tanpa insurans, termasuk 6% GST).

Pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS Trophy Asia Tenggara Malaysia

Pada hujung minggu ini, BMW Motorrad Malaysia menjemput orang ramai ke Sepang Motorcross Track untuk menonton pertandingan tunggangan enduro.

Pertandingan motosikal kembara bertaraf dunia itu juga akan memilih seorang pemenang dari 40 orang peserta Malaysia. Pemenang akan membawa nama negara bersama dua orang lagi penunggang sebagai sebahagian daripada pasukan mewakili Asia Tenggara dalam pertandingan BMW Motorrad International GS Trophy di Mongolia tahun 2018.

Ia turut menampilkan enam peserta dari Singapura yang bersaing untuk tiga tempat dalam pusingan Kelayakan BMW Motorrad GS di Thailand bulan depan.

Pelbagai model motosikal BMW Motorrad Malaysia ada disediakan untuk ditunggang uji sepanjang acara berlangsung.

GALERI

Google ads
Back to top button