Motosikal

BOON SIEW HONDA AKAN LANCAR 10 JENTERA BAHARU TAHUN DEPAN

Boon Siew Honda hari ini mengesahkan bahawa ia akan melancarkan 10 model baharu ke pasaran tempatan pada tahun 2018.

Ia merangkumi model serba baharu dan tambah baik atau facelift daripada pelbagai segmen. Antara motosikal yang bakal diperkenalkan ialah skuter PCX, Africa Twin, CBR 1000, CB1100, Forza, kapcai, sports, naked dan sebagainya.

Sehingga November 2017, Boon Siew Honda telah mencatat jualan sebanyak 113,000 unit motosikal, naik 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Jumlah itu turut merangkumi jualan 400 unit motosikal berkuasa tinggi.

“Angka tersebut banyak disumbang oleh model RS150R yang terjual sebanyak 3,000 unit sebulan.

“Bon Siew Honda kini menguasai pasaran sebanyak 25 peratus. Kami mensasarkan untuk meningkatkannya kepada 30 peratus pada tahun depan,” kata Naib Pengerusi dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Datuk Seri Tan Hui Jing.

Beliau ditemui pada majlis penghargan media dan sesi pandu uji jentera Honda RC213V-S di Litar Antarabangsa Sepang.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat juga merancang untuk membuka empat buah lagi Honda Big Wing pada tahun 2018. Premis yang hanya menjual motosikal berkuasa tinggi Honda itu bakal dibuka di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Google ads
Back to top button