Motosikal

BOSS TECH 3 AKUI MERASA SANGAT MARAH DENGAN PRESTASI HAFIZH SYAHRIN

‘Sangat marah’, itulah perkataan yang sangat sesuai bagi menggambarkan perasaan boss pasukan KTM Tech 3 dengan prestasi Hafizh yang dilihat menghadapi kesukaran dalam perlumbaan di Argentina beberapa hari lepas.

Hafizh terus mengalami detik-detik sukar selepas bertukar dari jentara Yamaha M1 pada musim lepas kepada jentera KTM RC16 pada tahun ini. Pencapaian beliau pada tahun lepas juga tercalar dengan kegagalan pada GP Qatar sebelum ini di mana beliau menduduki tempat tercorot dan ketinggalan hampir 20 saat di belakang penunggang kedua akhir.

Pelumba Malaysia ini mengakui tidak mempunyai keyakinan untuk mendesak motosikal dan sekaligus menyebabkan beliau bergelut di Argentina dan sentiasa menamatkan sesi latihan di tempat tercorot.

Poncharal sewaktu ditemuramah MotoGP.com selepas sesi latihan pagi Sabtu lepas menyatakan yang Hafizh memang mempunyai potensi selepas menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dalam perlumbaan kedua beliau.

Tapi entah kenapa segalanya seperti langsung tidak menjadi dalam sesi ujian pertama. Poncharal menyifatkan gaya menunggang Hafizh sama seperti gaya beliau menunggang sendiri di sepanjang litar.

Tapi selepas sesi ujian kedua, keadaan bertambah baik untuk Hafizh bila mampu mengurangkan masa catatan sebanyak dua saat tanpa mengubah apa-apa tetapan pada motosikal beliau. Jelas sekali halangan yang dihadapi bukannya disebabkan oleh motosikal tetapi halangan sebenar di dalam pemikiran beliau sendiri.

Hafizh tidak berani memecut dan ia sesuatu yang tidak dapat dijelaskan oleh Poncharal dan juga oleh Hafizh sendiri. Tapi bagaimanapun Poncharal menegaskan yang beliau dan pasukan masih dibelakang Hafizh dan mereka memastikan Hafizh akan sentiasa berada semakin hampir dengan pencapaian Miguel Oliviera rakan sepasukan beliau

Hafizh ketika ditanya mengenai pendapat Poncharal mengakui yang prestasi beliau hampir menyamai keadaan di Qatar tempohari dan tidak mempunyai keyakinan dengan motosikal. Tapi selepas beberapa pelarasan dilakukan ia menjadi lebih baik dan beliau berjaya membuat peningkatan.

Malah Hafizh juga mengakui yang jentera KTM ini memerlukan tenaga fizikal yang lebih untuk dikawal jadi beliau mesti mempersiapkan keadaan fizikal beliau agar lebih sesuai malah latihan dijalankan tanpa henti sejak dari GP Qatar tempohari.

Hafizh juga memaklumkan yang beliau kini sudah mempunyai keyakinan dengan jentera baru beliau ini sama seperti keyakinan pada jentera Yamaha M1 tempohari. Beliau mahukan beberapa perlumbaan lagi agar lebih memahami karektor jentera baru itu sepenuhnya.

Google ads
Back to top button