Motosikal

SELAMBA PRESIDEN BRAZIL KETUAI PERARAKAN MOTOSIKAL. KAYANGAN OH KAYANGAN

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro mengetuai perarakan motosikal di sepanjang Rio de Janeiro pada Ahad ketika pandemik semakin meruncing di negara terbabit.

Gelagat pemimpin berhaluan kanan itu yang masih memandang remeh ancaman pandemik Covid-19 dengan tidak memakai pelitup muka turut disiarkan secara langsung menerusi akaun rasmi beliau di Facebook.

Perarakan selama sejam setengah yang bermula di Taman Olimpik Rio turut melalui pantai ikonik, Ipanema dan Copacabana itu kononnya bertujuan untuk meraih semula sokongan rakyat selepas popularitinya merudum sejak memegang tampuk pemerintahan pada Januari 2019.

Penyokong beliau turut berhimpun di sepanjang laluan sambil bersorak dan mengibarkan bendera kebangsaan.

Pada Jumaat lalu, Bolsonaro dikenakan kompaun kerana mengadakan perhimpunan di Maranhao tanpa perlindungan kebersihan walaupun acara sosial membabitkan lebih 100 individu adalah dilarang di bawah peraturan bagi membendung penularan Covid-19.

Difahamkan, pejabat presiden diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan rayuan selepas jumlah denda ditetapkan. Ketika ini, suruhanjaya Senat turut menyiasat kesilapan pengurusan pandemik yang dikendalikan pentadbiran Bolsonaro. – AFP/SH

Google ads
Back to top button