BuletinMotosikal

CUB PRIX PUSINGAN KE 5 BERSAMBUNG DI MAEPS, SERDANG

Siri Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS kembali bersambung setelah berehat panjang sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitiri yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor pada 15 dan 16 Julai ini.

Perlumbaan pusingan kelima pada minggu ini menyaksikan MAEPS menjadi hos buat tahun ketiga berturut-turut dengan penyediaan litar yang mencabar termasuk laluan lurus berbukit yang memerlukan kelebihan dari segi kuasa jentera.

Saingan minggu ini juga menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang terlepas aksi pusingan keempat di Teluk Intan kerana menyertai Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia CEV di Sepanyol, Mei lepas akan kembali ke litar dalam usaha untuk merampas kembali kedudukan selaku pendahulu keseluruhan kategori CP150.

Selepas empat pusingan, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ yang menjuarai perlumbaan di Teluk Intan kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 51 mata manakala Kasma di tangga kedua dengan 50 mata diikuti rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham di kedudukan ketiga dengan 40 mata.

Saingan CP115 pula terarah kepada Md Akid Aziz yang memburu kemenangan keempat berturut-turut manakala saingan kelas Wira tertumpu kepada persaingan diantara dua pasukan, PETRONAS Sprinta Yamaha – AFB Tech dan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing.

Md Aiman Tahirudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – AFB Tech sedang mendahului kedudukan dengan 66 mata manakala Saiful Azhary Muhamad di kedudukan kedua dengan 49 mata.

Menurut Ketua Operasi Cub Prix, Shafry Azizan, persaingan diantara pelumba-pelumba pasti menarik terutama di dalam kelas CP150. “Selain kehadiran semula Kasma, yang juga pemenang di litar ini pada musim 2016, mesyuarat bersama pengurus-pengurus Jun lepas juga telah bersetuju dengan beberapa perubahan teknikal jentera yang akan mula diguna-pakai pada pusingan ini.

“Selain itu, Kejuaraan Cub Prix juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik seperti penampilan istimewa artis jemputan, pengenalan model baharu motosikal, pertunjukan aksi motosikal, autoshow, penampilan pelumba GP negara dan banyak lagi aktiviti yang sesuai untuk pelbagai peringkat umur. Tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung,” jelas Shafry.

Google ads
Back to top button