Buletin

BUNYIKAN HON, KERETA KENA PIJAK DENGAN GAJAH

Lima individu berdepan detik cemas apabila seekor gajah memijak kereta dinaiki mereka dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 7 malam itu, kelima-lima mereka sempat melarikan diri meninggalkan kereta.

Menurut seorang pemandu sebuah kenderaan yang tidak dikenali mendakwa dia mendapat tahu cerita itu daripada seorang mangsa.

“Puncanya begini, semasa gajah di tengah jalan mereka memberhentikan kereta, tiba-tiba kereta belakang membunyikan hon.

“Kereta belakang hon, gajah bangun mengamuk pijak bonet kereta mereka, lima orang dalam kereta itu nasib baik sempat keluar dan lari tinggalkan kereta,” katanya menerusi satu pesanan suara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan kecil.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, kakitangan sudah dihantar ke lokasi bagi melakukan siasatan lanjut dan pemantauan.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan pemandu supaya bersabar dan tidak memasang lampu tinggi ketika melalui kawasan berkenaan pada waktu malam.

“Jangan bunyikan hon atau paling penting jangan cuba menghalau gajah berkenaan,” katanya – Harian Metro

Google ads
Back to top button