Buletin

CATAT JUALAN 41,000 TIKET SEHARI, AIRASIA POSITIF PERMINTAAN UNTUK TERBANG MASIH TINGGI

AirAsia mencatat jualan harian tertinggi sebanyak 41,000 tempat duduk bagi seluruh kumpulan itu pada Selasa, selepas tempoh hibernasi. Situasi itu dilihat sebagai tanda bahawa permintaan terhadap perjalanan udara masih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata laman sesawang syarikat penerbangan tambang rendah itu turut menyaksikan peningkatan trafik sebanyak 170 peratus.

Dalam kenyataan pada Rabu, beliau memberitahu tempahan destinasi paling popular bagi Malaysia adalah Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur. Manakala Thailand pula melibatkan laluan Bangkok ke Chiang Mai dan Hat Yai.

Destinasi popular bagi Filipina adalah ke Manila ke Puerto Princesa dan Davao, India meliputi Delhi ke Srinagar dan Bengaluru ke Hyderabad. Sementara Indonesia membabitkan laluan Jakarta ke Denpasar dan Medan.

Selain itu, purata muatan penumpang bagi kumpulan AirAsia adalah sebanyak 50 peratus dengan AirAsia Malaysia mencecah 70 peratus – tertinggi bagi aspek itu untuk tempoh pasca-hibernasi.

“Perkembangan positif itu menjadikan kami lebih bersemangat dan menjangkakan permintaan ini akan berterusan.

“Kami merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sebanyak 50 peratus daripada operasi sebelum COVID-19. AirAsia juga tidak sabar untuk ke semua laluan domestik pada minggu-minggu akan datang bagi menampung peningkatan permintaan,” katanya.

Buat masa sekarang, AirAsia mengendalikan 152 penerbangan harian di serata rantau ini.

Syarikat penerbangan itu juga berharap untuk melihat pembukaan semula sempadan antarabangsa yang jelas menunjukkan kepentingan pengangkutan udara bagi memulakan serta memulihkan aktiviti ekonomi di peringkat global.

Fernandes menyatakan pihaknya akan turut memperluaskan Pas Tanpa Had AirAsia ke pasaran lain tidak lama lagi, berikutan sambutan yang memberangsangkan di Malaysia. – Bernama

Google ads
Back to top button