Artikel PilihanMotosikal

WALAUPUN MASIH ADA PERMINTAAN, MOTOSIKAL 2 LEJANG KINI SEBENARNYA DI PENGHUJUNG HAYAT…

Suatu ketika dulu jalan-jalan raya di negara kita tidak pernah sunyi dengan raungan motosikal dua-lejang. Rata-rata motosikal pilihan anak muda era 80-an dan 90-an tentu sekali dari kategori dua-lejang.

Motosikal empat-lejang pula rata-ratanya lebih menjadi pilihan golongan yang berusia. Dua buah model yang menjadi pilihan anak muda tahun 90an tentulah Yamaha 110 SS yang kemudiannya bersaing hebat dengan Suzuki RG Sports 110.

Tetapi raja motosikal dua-lejang semestinya adalah Yamaha RX-Z! Kalau ada yang tiba-tiba rasa nak beli balik RX-Z, baik fikir 2,3 kali kerana harganya kini memang langsung tak masuk akal. Di mana Honda pada masa itu?

Mereka memonopoli pasaran empat-lejang dengan Honda EX5 selama berpuluh tahun sebelum dicabar oleh pengeluar lain. Honda Hurricane adalah satu-satunya warisan yang ada pada hari ini. Kalau ada pun boleh restore dan jual harga orimotomeninggal.

BACA – MUZIUM LHM-SYURGA 2 LEJANG

BACA – APRILIA RS125-:LAGENDA 2 LEJANG BERAKHIR

Kini boleh dikatakan kebanyakan motosikal dua-lejang sudah hampir pupus kerana banyak yang telah digantikan dengan model empat-lejang yang lebih bersih, selamat dan tahan lasak. Sememangnya apa yang berlaku adalah cukup baik untuk alam sekitar terutama di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, tetapi bagi kami dan ramai lagi penggemar motosikal, ianya seperti satu kerugian dan ramai yang masih lagi merintih kerana rindukan motor-motor dua-lejang.

Ini membuatkan dunia restorasi kembali meriah bila ramai yang kembali membaik pulih motor-motor lama ini untuk menghidupkan kenangan di zaman remaja.

giacomo-agostini-yamaha

Mengimbau kembali sejarah kegemilangan motosikal dua-lejang ialah bila pelumba lagenda, Giacomo Agostini  memenangi kejuaraan Grand Prix Dunia dengan jentera dua-lejang Yamaha pada tahun 1975.

Selepas kemenangan itu, jentera dua-lejang menguasai hampir keseluruhan kategori perlumbaan Grand Prix Motosikal Dunia (125cc, 250cc dan 500cc) sehinggalah tahun 2001, di mana Valentino Rossi memenangi kategori GP500 beliau yang pertama juga menggunakan jentera dua-lejang yang cukup terkenal, Honda NSR500. Itulah juga tahun terakhir jentera dua-lejang beraksi di dalam kejuaraan Grand Prix dunia sebelum di kenali sebagai MotoGP.

Begitu juga dengan kategori off-road, pada peringkat awal boleh dikatakan sebilangan besar pelumba menggunakan jentera dua lejang kerana ianya cukup senang diselenggara dan menjimatkan. Kelajuannya juga cukup pantas berbanding jentera empat lejang.

BACA: SUTER MMX, MOTOGP 2 LEJANG YANG BOLEH DIBELI

Berbeza dengan enjin empat lejang, enjin dua lejang mampu menghasilkan lebih kuasa berbanding dengan enjin yang mempunyai sesaran (cc) lebih besar. Ianya juga lebih ringan dan senang diselenggara kerana mempunyai komponen mekanikal yang lebih ringkas berbanding enjin empat lejang.

Kekurangannya pula ialah kerana penjimatan bahan apinya adalah kurang baik berbanding dengan enjin empat lejang. Ia juga lebih bising selain dari pengeluaran asap yang sungguh menyakitkan mata memandang. Kadang-kadang asap yang dikeluarkan hampir menyerupai pesawat aerobatik yang sedang membuat pertunjukan di LIMA. Apa lagi pada yang suka sangat jimat duit pakai 2T murah.

Dunia kemudiannya semakin berubah bila ramai pihak sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar. Dunia dua lejang juga hampir berakhir bila gas dari ekzos kenderaan dikatakan salah satu punca pencemaran udara di seluruh dunia.

Yamaha-TZR250-1KT-classic-mekanika (2)

Honda bagaimanapun pernah menunjukkan enjin dua lejang teknologi baru kepada dunia dan dinamakan enjin dua lejang EXP Activated Radical Combustion pada tahun 1995. Mereka telah mengujinya beberapa kali dalam perlumbaan untuk membuktikan yang enjin jenis ini boleh menjadi lebih bersih jika kena dengan caranya. Tetapi selepas hampir berjaya, mereka menghentikan projek ini tanpa sebarang alasan.

Pada tahun 1998, Yamaha memperkenalkan YZ400F, sebuah model revolusi enjin empat lejang yang mampu menghasilkan kuasa pada putaran enjin yang lebih tinggi berbanding enjin empat lejang lain. Ini merupakan satu langkah besar yang membawa kepada pengenalan enjin ini dapat hampir kesemua kejohanan motosikal dunia.

Siapa yang menang dengan pengenalan enjin ini sebenarnya? Antara pihak yang memperolehi keuntungan tentulah para pengeluar. Ini kerana enjin ini adalah lebih mahal untuk dikeluarkan dan diselenggara.

Ia juga perlukan komponen dalaman yang lebih berbanding enjin dua lejang. Nampak tak siapa untung kat sini? Tapi kelebihannya pula enjin ini adalah lebih bersih dengan hantaran tenaga yang lancar. Tetapi siapa tahu? Mungkin enjin dua lejang  juga mampu menjadi lebih baik dengan suntikan teknologi moden yang ada pada masa kini?

Kini motosikal dua-lejang sudah hampir ke penghujung tetapi masih ramai yang sukakannya. Ia lebih murah untuk diselenggara, ringan dan lebih laju. Kalau ada pilihan pun ialah dengan membeli model-model lama dan menjalankan proses restorasi.

Castrol 2-stroke Motor Oil for Scooters, ATVs and Lawn Equipment

Tapi masalahnya minyak 2T khusus untuk motosikal dua-lejang pun sudah tidak banyak pilihan dijual. Ingat lagi 2T yang berbau wangi? Berbeza dengan minyak 2T murah yang berwarna merah, ia biasanya lebih cair daan berwarna hijau. Itulah indahnya teknologi motosikal pada tahun 90-an.

Pecutan yang garang diikuti dengan asap berkepul di belakang merupakan santapan wajib pengguna jalan raya lain setiap hari. DI Malaysia, kini cuma tinggal 2 pilihan motosikal enjin dua lejang di pasaran iaitu Yamaha 125Z dan Modenas Dinamik. Vespa ada mengeluarkan edisi terhad tapi bukan dalam jumlah yang besar.

 

Tags
Google ads
Back to top button