Buletin

CHANGAN AUTOMOBILE LABUR RM1.3 BILION DI THAILAND, BINA KILANG PENGELUARAN EV PEMANDUAN KANAN

Pengeluar kereta keempat terbesar China, Changan Automobile bakal melabur sebanyak 9.8 bilion baht (RM1.3 bilion) di Thailand untuk menubuhkan kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) pacuan kanan pertamanya di luar China.

Menurut laporan, kapasiti kilang mampu mencapai pengeluaran awal sebanyak 100,000 kenderaan bagi pasaran domestik serta eksport, sekaligus mengukuhkan matlamat Thailand untuk menjadi pangkalan pengeluaran EV global.

Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) berkata, pelaburan Changan adalah untuk mewujudkan pangkalan pengeluaran bagi kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid plug-in (PHEV), Range Extended EV dan bateri.

Setiausaha Agung BOI Narit Therdsteerasukdi menjelaskan syarikat itu menyasarkan untuk memasarkan kenderaan itu di Thailand serta Asean, Australia, New Zealand, UK dan Afrika Selatan.

“Ia juga menunjukkan keyakinan syarikat terhadap infrastruktur Thailand, potensi pasaran, dasar proaktif untuk mempromosikan ekosistem EV yang lengkap, dan rantaian bekalan komprehensif,” kata Narit.

Untuk rekod, BOI sebelum ini telah meluluskan sejumlah 26 projek pengeluaran kenderaan elektrik dengan nilai pelaburan keseluruhan 86.8 bilion baht (RM11.4 bilion). – Automachi

Google ads
Back to top button