Buletin

COO NISSAN, ASHWANI GUPTA BERALIH ANGIN, TINGGALKAN NISSAN

Laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa Nissan sedia mengalami perubahan pengurusan setelah Ketua Pegawai Operasi (COO), Ashwani Gupta, meninggalkan syarikat itu berkuat kuasa 27 Jun.

Nissan mendakwa Ashwani Gupta memutuskan untuk beralih angin termasuk melepaskan jawatannya sebagai lembaga pengarah.

Ashwani Gupta adalah salah seorang daripada tiga eksekutif yang dilantik untuk membersihkan kekacauan dibuat Carlos Ghosn pada 2018.

Pemergian Gupta akan meninggalkan Ketua Pegawai Eksekutif, Makoto Uchida, bersendirian di jawatan tertinggi pembuat kereta itu selepas Jun Seki, dilantik sebagai ketua eksekutif ketiga, berhenti beberapa minggu selepas memegang jawatan itu.

Pemergian Gupta datang pada masa getir ketika Nissan berusaha untuk mengukuhkan pakatannya bersama Renault.

Laporan dalaman The Financial Times mendapati ada ketegangan antara Gupta dan Uchida hingga memaksa Gupta memilih untuk meninggalkan syarikat.

Ashwani Gupta, memulakan kerjayanya dengan Renault pada 2006 dan telah berkhidmat sebagai COO Nissan sejak Disember 2019, memainkan peranan penting dalam pembangunan serta pelaksanaan pelan transformasi Nissan NEXT.

Sejak itu, Nissan merancang melancarkan 19 EV dalam tempoh tujuh tahun akan datang di bawah kepimpinan Gupta. Beliau juga adalah orang di sebalik tabir bagi menjayakan matlamat syarikat untuk menjadikan EV lebih murah menjelang 2026.

Untuk makluman, Nissan bakal mengumumkan barisan eksekutif baharu pada 27 Jun ini.

Google ads
Back to top button