Pandu Uji

PANDU UJI PROTON IRIZ, PERSONA VERSI SPORTI

Sebanyak 50,000 unit Proton Iriz telah terjual di pasaran Malaysia dalam tempoh 5 tahun. Namun jumlah tersebut jauh tertinggal berbanding dengan pesaingnya iaitu Perodua Myvi. Dalam usaha menarik minat pasaran terhadap Iriz, Proton telah berusaha memeperkenalkan Proton Iriz 2019 yang telah ditambah dengan pelbagai fungsi yang sesuai dengan kehendak pasaran.

Spesifikasi

ModelProton Iriz 1.6 Premium CVT
HargaRM50,700
EnjinCampro VVT 1600cc DOHC
TransmisiCVT dengan klac
Suspensi DepanTopang McPherson dan Bar Penstabil
Suspensi BelakangTorsion Beam
Berat1178 kg
Ruang Kargo215 liter
Saiz Tayar185/55 R15
Ciri Keselamatan6 Beg Udara SRS
Kawalan Kestabilan Elektronik ESC
Brek Anti Terkunci ABS
Bantuan Mula Mendaki HAC
Sistem Bantuan Brek BA dan EBD
5 Star ASEAN NCAP

Rekabentuk

Konsep asal rekabentuk Iriz bermula dengan lakaran konsep yang diilhamkan oleh Italdesign Giugiaro dan Proton menamakan rekaan ini sebagai Proton Emas. Dilancar pada tahun 2014, Iriz sudah berada di pasaran selama 5 tahun dan kemasan terkini yang diberikan oleh Geely memberikan kelebihan untuk terus bersaing di pasaran.

Sentuhan Geely ini termasuklah Infinite Weave pada grill depan dan direntangi dengan kemasan krom yang menyambungkan kedua dua belah lampu utama hadapan. Lampu hadapan pula dipinjam dari model Persona dengan teknologi reflektor bagi menggantikan lampu projektor.

Bahagian bampar depan ditambah dengan kemasan krom pada bahagian bawah memberi penegasan yang eksklusif pada rekaan hadapan. Lampu kabus depan digantikan dengan lampu DRL dari jenis LED dan juga sensor parkir bagi memudahkan pemandu memarkir Iriz di tempat sempit.

Bahagian sisi dibentuk dari 2 garisan utama yang pada shoulder line dari sisi belakang ke depan. Satu lagi garisan berada di bahagian bawah pintu. Rekaan rim dua tona bersaiz 15 diberi rekaan baru dan dibalut dengan tayar Goodyear Assurance.

Bahagian belakang menerima perubahan dengan kemasan plastik di tengah pintu belakang dan juga rekaan bampar belakang yang lebih minimalis yang disertakan dengan kemasan krom yang merentangi bahagian bawah bampar. Tulisan PROTON mendominasi bahagian tengah pintu sama seperti rekaan Proton yang lain.

Secar keseluruhan panjang Iriz ialah 3945mm iaitu 397mm lebih pendek daripada Persona. Tinggi Iriz ialah 1554mm dan lebarnya ialah 1772mm sama seperti Iriz.

Apa yang Menarik

1. Sudah pasti unit sistem audio GKUI yang serba canggih itu menjadi perhatian utama di ruangan dalam Iriz. Melalui sambungan internet, unit ini boleh mengoperasikan sistem pandu arah, memainkan lagu di atas talian dan juga memainkan lagu di dalam fail USB

2. Unit GKUI membolehkan anda memberikan arahan suara untuk memainkan lagu kegemaran, memasang radio, mencari arah dalam sistem navigasi, menguatkan suara dan juga memperlahankan suara sistem audio

3. Kusyen Iriz dikemaskan dengan fabrik pada bahagian tengah dan kulit pada kemasan tepi. Fabrik yang berwarna kelabu ini dihias dengan warna biru muda dan merah memberikan Iriz feel yang ranggi dan sporti. Namun setelah memandu 2 3 jam, kusyen yang keras membuatkan penulis perlu berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan.

4. Kesemua penumpang mendapat perehat kepala masing masing dan ia bagus untuk mengurangkan risiko kecederaan leher jika dilanggar dari belakang. Jahitan benang warna merah menghiasi kusyen dan juga pelapik kaki menyerlahkan lagi sifat riang Iriz

5. Terdapat 2 pengecas USB pada konsol tengah untuk memudahkan penumpang mengecas peranti telefon pintar dan satu penyangkut serba guna untuk menggantung beg di kerusi penumpang depan. Satu lagi cangkuk dipasang pada papan pemuka depan di sebelah kiri.

6. Terdapat 7 tempat meletakkan botol minuman iaitu pada bahagian pintu dan 3 di bahagian konsol tengah

Enjin dan Transmisi

7. Enjin 1600cc teknologi VVT yang digunakan berkongsi dengan Persona. Kuasa yang dihasilkan adalah sekitar 107 kuasa kuda pada 5750 RPM dan 150Nm tork pada 4000 RPM. Komen saya sama seperti Persona, unit SP4H DOHC ini sebenarnya sudah berusia dan perlu digantikan dengan segera.

8. Kuasa ini disalurkan pada transmisi CVT dengan teknologi klac pada roda hadapan. Mungkin disebabkan talaan transmisi dan juga Iriz yang sedikit ringan maka pecutan Iriz adalah lebih ringan dan hidup berbanding dengan Persona. Tapi sayang tiada ciri pemanduan Sport pada tombol gear.

9. Namun talaan transmisi yang dibuat terasa kurang lancar dan lebih menyentap jika dibandingkan dengan Persona yang lebih lembut. Maka anda akan terasa Iriz seperti sedikit tersentap sentap jika dipandu di kawasan taman atau kawasan parkir.

10. Dari segi rekaan, kusyen Iriz dan Persona kelihatan sama. Namun setelah menghabiskan masa selama beberapa hari penulis merasakan kusyen Iriz lebih keras dan padat memberikan rasa sedikit keras. Mungkin Proton menggunakan span yang lebih padat bagi model Iriz berbanding dengan Persona

11. Ia juga berkongsi rekaan roda steering dengan Persona. Ia memuatkan butang kawalan audio bagi memudahkan pemandu fokus pada jalan raya. Roda steering dibalut dengan kemasan kulit dan disudahkan dengan benang merah sama seperti kusyen

12. Varian Premium hadir dengan panel meter TFT LCD yang terang dan amat mudah dibaca. Pencahayaan meter akan dikawal secara automatik dan ia akan terang pada waktu siang serta tidak menyakitkan mata pada waktu malam

13. Lampu hadapan juga datang dengan fungsi automatik di mana lampu akan dihidupkan sendiri apabila malam ataupun melalui kawasan gelap. Malah ia juga lengkap dengan fungsi Follow Me Home tapi hanya terhad untuk lampu kecil sahaja. Tak cukup terang.

14. Jika lampu utama hidup secara automatik, maka lampu LED DRL akan dipadamkan. Satu kelemahan lampu automatik Iriz ialah ia gagal untuk menyala jika dipandu dalam hari hujan pada waktu siang.

Pengendalian Iriz

15. Walaupun menggunakan geometri suspensi yang sama dengan Persona penulis merasakan talaan sistem penyerap hentak Iriz terasa sedikit keras berbanding dengan Persona. Di permukaan jalan yang tidak rata, anda akan terasa sedikit kurang selesa kerana gegaran akan mudah sampai ke penumpang

16. Namun jika dipandu di jalan yang berselekoh ia akan manjadi cukup garang dan menyeronokkan. Disini Proton Ride Handling mula menyerlahkan kelebihannya. Input steering yang neutral dan cepat, talaan sistem penyerap hentak yang sedikit keras dan cesi yang stabil memberikan benar-benar membuatkan pemandu terasa dihargai. Ia membolehkan penulis melalui selekoh pada halaju 90-110km/j tanpa was-was. Gunakan kaedah brek di laluan lurus, sebelum menyerahkan tugas mengambil selekoh pada suspensi Iriz.

16. Malah penulis berani memotong secara zig-zag 2 buah kereta yang menghalang laluan di selekoh 180 darjah dengan tenang. Namun jika anda melebihi had cengkaman mekanikal yang ditawarkan oleh Iriz, maka tayar akan mula memprotes sebagai tanda ingatan yang anda memasuki terlalu laju diikuti dengan logo ESC yang mula berkelip-kelip. Berbanding dengan Persona yang menggunakan Silverstone, Iriz menggunakan Goodyear Assuarance yang terasa lebih melekat di selekoh.

Namun tayar ini kurang berkesan di laluan basah. Walaupun bunga tayar masih tebal, fenomena aquaplanning akan terasa. Secara keseluruhan pengendalian Iriz sangat berbeza dari Persona. Ia menawarkan pengendalian yang lebih mantap, pecutan yang lebih padu dan kusyen juga lebih keras menjadikan Iriz lebih keras dan sporti.

Keluasan Kabin

17. Kemasan bumbung diberikan fabrik berwarna hitam, kemasan pintu hanya menggunakan plastik hitam dan sedikit kemasan kulit hitam dan papan permukaan turut diwarnakan dengan warna hitam. Mungkin nampak sporti tapi kelemahan menggunakan warna hitam ialah menjadikan kabin nampak sempit. Padahal jarak antara roda sama seperti Persona iaitu 2555mm.

18. Disebabkan Iriz lebih pendek, maka ruang kargonya hanyalah 215 liter sahaja iaitu kurang 295 liter berbanding dengan Persona. Jadi untuk pembeli yang mementingkan kargo yang luas, Persona adalah pilihan yang lebih baik. Sekiranya perlu ruang yang lebih, penyandar belakang kusyen Iriz boleh dilipat bagi memuatkan lebih banyak barang.

Sistem Keselamatan

19. ASEAN NCAP memberi penarafan 5 bintang pada Iriz. Untuk varian Premium ia ditawarkan dengan 6 beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, sistem peringatan pemakaian tali keledar untuk semua penumpang, dan 2 cagak ISOFIX pada tempat duduk depan. Secara keseluruhan Iriz berjaya mendapat markah 14.07/16.

20. Kamera undur belakang turut ditawarkan pada model premium namun kualiti pencahayaan pada waktu siang kelihatan sedikit gelap. Namun pada waktu malam pula kualiti gambar yang diberikan adalah terang. Terdapat 2 sensor parkir depan yang boleh diaktifkan dengan suis pada papan pemuka.

21. Iriz ini menggunakan kunci tanpa kemasukan dengan butang suis penghidup. Namun untuk membuka pintu pemandu perlu menekan butang pada tombol pintu ataupun pada kunci yang disediakan. Manakala kunci akan terkunci sendiri apabila kereta bergerak pada halaju yang ditetapkan dan pengguna boleh membuka dan mengunci pintu dengan menggunakan suis pada papan pemuka.

Kelemahan sistem kunci ini hanya pintu sebelah pemandu shaja yang disediakan dengan butang untuk membuka pintu.

Kadar bunyi bising, getaran dan kekasaran NVH

22. Salah satu punca bunyi bising yang dikenalpasti ialah bunyi gema (humming sound) yang dihasilkan oleh sistem trenkuasa iaitu enjin dan transmisi CVT. Bunyi seperti jisim yang berputar ini menghasilkan gema memasuki ruang kabin dan menjadi semakin kuat apabila halaju kereta berada pada 120km/j. Tekaan penulis ialah bunyi ini terhasil semasa sistem klac CVT beroperasi

23. Terdapat sedikit getaran mekanikal yang dipindah masuk ke dalam kabin merayap melalui roda steering. Getaran ini biasa terjadi pada kereta lain apabila cagak transmisi mulai lusuh namun untuk Iriz ia sudah terasa walaupun Iriz ini baru dipandu sejauh 5000km.

24. Bunyi tayar yang dihasilkan boleh dikatakan agak minima namun pada permukaan jalan yang basah, bunyi pecikan air jelas kedengaran apabila tayar membelah lopak air akan menjadi sedikit kuat.

Penggunaan Petrol

25. Iriz ini dipandu melalui lebuh raya, jalan kampung dan juga kesesakan lalu lintas di bandar Georgetown. Halaju terbaik untuk mendapatkan penjimatan bahan api maksima ialah pada halaju antara 90-100km/j dengan RPM enjin sekitar 2400. Pada ketika ini bacaan sistem menunjukkan Iriz berupaya bergerak sejauh 16.4km per liter petrol. Namun secara purata untuk laluan lebuhraya dan bandar ia mencatatkan bacaan sekitar 14.57km per liter petrol.

Kesimpulan

Kali terakhir penulis tersenyum ketika memandu melalui selekoh ialah ketika memandu Honda CRZ manual 6 tahun yang lepas dan Iriz berjaya membuatkan penulis tersenyum sekali lagi ketika memandu di selekoh. Ia menyeronokkan dan memberi keyakinan pada penulis untuk bergembira seketika seperti kanak-kanak mendapat permainan baru. Kalaulah Iriz diberikan transmisi manual 6 kelajuan untuk enjin 1600cc mungkin ramai peminat 3 pedal akan membelinya.

Sekiranya anda ada bajet sekitar RM 50-55,000 maka Iriz dan Persona adalah 2 kereta yang perlu dipandu uji. Persona lebih sesuai sebagai kereta utama untuk pemanduan jarak jauh dengan kelebihan ruang kargo. Sekiranya anda memerlukan sebuah hot hatch murah dan seronok dipandu sebagai kereta kedua, maka Iriz menjadi pilihan yang lebih sesuai.

Tapi jika anda seorang yang membosankan, mungkin jenama premium yang lain sesuai dengan citarasa anda.

Petronas MREC – Desktop
Tags
Google ads
Back to top button