
ZONTES LANCAR ZT 703 F ADVENTURE – ENJIN 3-SILINDER, 97HP
Jenama motosikal China, Zontes, yang selama ini sinonim dengan motosikal satu silinder dengan. rasminya melangkah ke dunia motosikal berprestasi tinggi menerusi pelancaran ZT 703 Adventure.
Menurut Zontes, ZT 703 Adventure yang dipacu enjin tiga silinder 700cc itu akan mula dipasarkan pada musim bunga 2024.

Enjin
Fokus utama ZT 703 Adventure sudah tentunya terarah ke bahagian enjin yang menyalurkan 97hp pada 10,000rpm dan 76Nm pada 7,500rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan yang dioperasikan sistem quickshifter dan ‘traction control’.
Zontes turut mendakwa penggunaan bahan api diletakkan pada 5L bagi setiap 100 kilometer.

Kerangka
Atas kertas, ZT 703 F Adventure ini mengguna pakai casis jenis aluminium dengan kerangka utama didakwa hanya 11kg sementara kerangka belakang pula hanya 3.8kg. Bahagian swingarm juga menggunakan bahan jenis aluminium ringan.
Menariknya, dengan tangki penuh 22L, ZT 703 F ini hanyalah 228kg sekaligus menjadikan model ini agak ringan bagi segmen motosikal adventure bersesaran 700cc.

Pakej suspensi juga cukup mengagumkan dengan fork depan jenis USD dan penyerap hentak belakang yang dibekalkan Marzocchi. Brek pula merangkumi brek jenis radial dari J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek berkembar di depan dan menawarkan fungsi ABS.
Zontes ZT 703 F Adventure ini juga dilengkapi dengan rim jenis lidi (spoke) berukuran 21-inci depan dan 18-inci belakang yang dipadankan dengan tayar Michelin secara standard. Ketinggian tempat duduk pula diletakkan pada 845mm.

Elektronik
Apa yang mencuri tumpuan adalah pakej elektronik ditawarkan termasuk penghadang angin boleh laras (elektrik) serta sistem amaran ‘blind spot’ dengan bantuan sensor radar di belakang.

Motosikal ini turut dilengkapi dengan grip pemanas dan panel meter TFT 6.75-inci yang boleh disambung ke peranti pintar. Juga ditawarkan pengecas USB, dashcam serta sistem tanpa kunci (keyless).