Artikel Pilihan

DAHULU DIKEJAR POLIS SEKARANG DAH JADI MILIK POLIS – JAGA-JAGA PELUMBA HARAM TEXAS

Texas asalnya merupakan bandar koboi yang popular di Amerika Syarikat (dulu punya ceritalah). Sekarang Texas dah maju hampir setanding dengan Mentakab. Dulu ada kawan abang jadi renjer kat sana nama Walker (alah macam sheriff jugaklah) tapi dia dah pencen. Tapi itu cerita lamalah. Sekarang ni kita cerita pasal kereta peronda terbaru yang digunakan oleh polis Texas. Sebuah Dodge Challenger SRT Hellcat. Tapi ingat, ini bukan Hellcat standard tau.

Sewaktu keluar dari keluar dari kilang Challenger SRT Hellcat ini dibekalkan dengan enjin 6.2L V8 supercharged yang mampu menghasilkan 707 hp kuasa maksima. Macam ni dia kata standard. Macam mana dengan Hellcat milik polis Texas tu? Lebih sikit la kerana menurut Jabatan Keselamatan Awam Texas, Hellcat yang dirampas dari pelumba haram sebelum diberikan kepada polis Texas itu mempunyai 1,080 hp kuasa maksima. Mak aih, dah sama dengan resolusi televisyen kat rumah pulak ye.

Dodge Challenger SRT Hellcat Redeye ini sebenarnya disita pada April tahun lepas selepas terlibat dalam perlumbaan haram dan kemudian berlaku pula kejar-mengejar dengan pihak berkuasa sehingga mencecah kelajuan maksima 258 km/j!

Kini peranannya dah terbalik pula, daripada buruan kini ia menjelma menjadi pemburu penjenayah (ataupun pelumba haram) di Texas.

Warna asalnya telah ditukar dan kini ia menyarung uniform baharu berwarna hitam putih lengkap dengan lampu-lampu amaran polis untuk penampilan yang lebih garang.

Menariknya sebelum ini kebanyakan supercar yang diserahkan kepada polis berakhir dengan menjadi gimik untuk tujuan promosi dan tidak pernah digunakan untuk beraksi tapi nampaknya polis Texas lebih berminat untuk ‘mengerah tenaga’ Hellcat ini di jalanan?

Boleh ke kereta peronda baharu mereka ini menangkap pelumba haram? Boleh, dengan syarat pegawai yang memandunya kena masuk sekolah memandu khas untuk mengawal 1,080 hp kuasa yang ada pada kereta ini. Takkan la pelumba dah memecut lari lima tiang, engkau sibuk dok buat donat berpusing-pusing kat tempat sama. Kalau masuk longkang lagi haru biru.

Google ads
Back to top button