Buletin

DAIHATSU ROCKY 2025 MENDARAT DI PASARAN INDONESIA – HARGA RM83K

Daihatsu memperkenalkan versi terbaharu bagi SUV kompak popularnya, Rocky, yang kini tampil dengan gaya lebih berani dan segar, sekaligus memberi nafas baharu kepada model mula diperkenalkan sejak 2019.

Buat masa ini, pembaharuan ini hanya ditawarkan di pasaran Indonesia.

Perubahan paling ketara boleh dilihat pada reka bentuk bahagian hadapan, dengan gril yang mengekalkan bentuk asal tetapi kini menggunakan corak honeycomb serta tulisan “Daihatsu”, menyerlahkan penampilan lebih maskulin seperti edisi khas Rocky Limited Edition.

Bampar hadapan turut direka semula, sementara bahagian sisi pula menerima sentuhan kosmetik, termasuk pelekat grafik baharu, rim aloi 16-inci berwarna hitam berkilat, serta penutup cermin sisi hitam.

Di belakang, bampar kini menampilkan reka bentuk faux intake dan jalur krom pada pintu but, menambah sentuhan sporty.

Masuk ke ruang kabin, ia kekal moden dengan kombinasi warna hitam dan kemasan merah. Varian premium dilengkapi skrin infotainmen 9-inci, paparan meter digital, dan pembesar suara beserta subwoofer 8-inci untuk pengalaman audio lebih mantap.

Ruang simpanan juga praktikal, termasuk laci bawah tempat duduk, pemegang cawan tarik keluar, serta ruang storan di bawah konsol tengah.

Daihatsu Rocky masih menggunakan platform DNGA tanpa sebarang perubahan mekanikal. Pilihan enjin terdiri daripada 1.2 liter NA (87hp), 1.0 liter turbo (97hp), serta versi hibrid dengan sistem range-extender.

Kemas kini ini hanya melibatkan varian X dan R, sementara model asas M serta versi hibrid import dari Jepun kekal dengan rekaan lama.

Harga jualan bermula dari $12,800 (RM60,400) bagi varian M dengan enjin 1.2L dan transmisi manual, manakala varian R 1.0L turbo CVT dijual pada harga $17,600 (RM83,100). Bagi Rocky Hybrid, harga bermula $18,100 (RM85,400).

Buat masa ini, belum ada pengesahan sama ada versi Jepun atau model kembar seperti Toyota Raize, Subaru Rex dan Perodua Ativa akan menerima kemas kini serupa, menjadikan versi Indonesia ini antara yang pertama tampil dengan wajah baharu.

Google ads
Back to top button