Artikel PilihanMotosikal

MAX BIAGGI DALAM SENARAI PENDEK APRILIA UNTUK SESI UJIAN MOTOGP

Antara khabar paling menarik MotoGP ialah Max Biaggi dikatakan akan kembali untuk menyertai sesi ujian MotoGP  di Sepang awal tahun ini. Dengan Andrea Iannone yang masih digantung kerana gagal dalam ujian doping di Malaysia November lepas, Aprilia memang sangat memerlukan seorang pengganti untuk bergandingan dengan Aleix Espargaro dan pelumba ujian Bradley Smith. Tambahan pula mereka bakal melancarkan jentera baharu RS-GP pada musim ini.

Aprilia mengesahkan perkara ini kepada Crash.net. Biaggi yang pernah memenangi kategori 250cc empat kali dan 13 kemenangan dalam MotoGP/500cc selain dua mahkota WSBK merupakan antara 3 pelumba yang berada dalam senarai mereka.

Calon-calon lain ialah bekas pelumba Avintia Ducati, Karel Abraham dan pelumba ujian MotoGO, Lorenzo Savadori. Jurucakap Aprilia memberitahu, mereka akan memilih seorang pelumba dari tiga pelumba tersebut.

Daripada tiga pelumba tersebut, Savadori yang berlumba dalam siri pertama MotoE tahun lepas merupakan calon pilihan dan dijangkakan akan turut berlumba dalam siri WSBK pada musim ini.

Dengan Sample B Iannone yang juga dilaporkan positif steroid, persiapan kini dilakukan untuk tindakan disiplin ekoran insiden tersebut.

Pasukan guaman Iannone percaya jumlah kecil steroid yang ditemui dalam sampel air kencing beliau adalah akibat makanan berasaskan daging yang tercemar sewaktu berada di Asia tempohari.

Taoi jelas sekali beliau tidak akan sempat menyertai sesi ujian pra-musim yang bakal berlangsung. Bukan itu sahaja, karier beliau dalam perlumbaan musim 2020 juga belum tentu terjamin.

Biaggi kini berusia 48 tahun. Kalau anda rasa Valentino Rossi sudah berusia, Biaggi lagilah berusia dan lebih senior. Beliau kini mempunyai pasukan Moto3 sendiri dan baru-baru ini muncul menunggang superbike Aprilia RSV-X baharu dalam sesi PR di litar Sepang.

Jika Biaggi membuat kemunculan semula dalam sesi ujian musim ini, beliau akan berlumba bersama dengan Rossi semula selepas 20 tahun sejak perlumbaan pertama mereka dalam kategori 500cc tahun 2000 satu ketika dahulu.

Google ads
Back to top button