BuletinMotosikal

DUCATI STREETFIGHTER V4 SP 2022 DIPERKENAL, LAGI RINGAN DAN LINCAH!

Ducati sekali lagi memperkenalkan barisan produk baharu dan diperkemaskan untuk ditawarkan pengguna. Kali ini giliran varian baharu motosikal naked Ducati Streetfighter V4 SP 2022.

Apa yang istimewa? Siri SP pada motosikal Ducati merujuk kepada Sport Production dan Streetfighter V4 SP hadir dengan nombor bersiri, pelbagai kelengkapan dari Superleggera V4 dan lebih ringan.

Bukan itu sahaja, Ducati memaklumkan varian ini lebih cekap di litar.

Dari segi luaran, Streetfighter V4 SP tampil dengan grafik ala ujian musim sejuk (winter test) hasil daripada Pusat Gayaan Ducati (Ducati Centro Stile).

Grafik itu membawa gaya motosikal lumba (Ducati Corse) yang digunakan untuk ujian pra musim kejuaraan MotoGP dan SBK.

Bahagian fairing menggunakan warna hitam kusam dengan warna hitam karbon pada roda dan sayap. Dua warna itu dikontra dengan riasan merah terang dan alumunium brush pada tangki.

Lagi perincian ialah nombor siri motosikal pada hendal dan warna bendera Itali pada sayap karbon.

Streetfighter V4 SP menggunakan roda karbon dengan berat 1.4 kg lebih ringan berbanding roda aluminium forged pada Streetfighter V4 S.

Selain lebih ringan, roda itu mengurangkan inersia sehingga 26 peratus di depan dan 46 peratus di belakang.

Faedah terus yang boleh dirasai ialah motosikal menjadi lebih lincah dan ringan apabila menukar arah.

Secara keseluruhannya motosikal ini 3 kg lebih ringan berbanding Streetfighter V4 S.

Untuk pembrekan, Ducati melengkapi motosikal ini dengan Brembo Stylema R® di depan. Untuk suspensi pula, Ducati menggunakan Öhlins Smart EC 2.0 yang melaras redaman mengikut gaya tunggangan.

Lagi kelengkapan pada motosikal ini ialah perehat kaki aluminium boleh laras, madgad depan karbon dan bateri lithium.

Menggerakkan Streetfighter V4 SP semestinya enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale yang berkuasa 208 hp dan tork 123 Nm pada 9,500 rom.

Enjin itu dilengkapi klac kering STM-EVO SBK yang membantu dalam fungsi anti lompat dengan lebih baik walaupun semasa penurunan gear secara agresif.

Pembeli juga ditawarkan pelbagai aksesori untuk hari litar seperti penutup klac karbon jenis terbuka dan penutup bagi menanggalkan pemegang nombor pendaftaran.

Ducati Streetfighter V4 SP akan ditawarkan dengan tempat duduk tinggal dan berada di pengedar Eropah bermula Januari 2022.

BACA: DUCATI MULTISTRADA V4 PIKES PEAK, MULTISTRADA PALING SPORTI DIKELUARKAN!

BACA: DUCATI MULTISTRADA V2 2022, YANG INI PUN DAH BAGUS!

BACA: DUCATI PANIGALE V2 BAYLISS, EDISI KHAS JUARA WSBK!

Google ads
Back to top button