Buletin

MUSK RANCANG BINA KERETA TESLA KOS RENDAH DI PASARAN INDIA

Elon Musk sedang merangka rancangan untuk membangunkan Tesla kos rendah di pasaran India. Pada awal tahun ini, India telah menolak permintaan Elon Musk untuk rebat cukai ke atas kereta elektrik Tesla.

Cadangan itu ditolak dengan alasan penyertaan yang mencukupi daripada pembuat kereta global dalam rangka kerja sedia ada.

Menerusi ucapan secara maya dalam sidang kemuncak G-20 yang berlangsung di Indonesia, Musk sedang mempertimbangkan cadangan untuk membuat model Tesla mampu milik di pasaran membangun seperti India dan Indonesia.

Jelas Musk, “Kami berpendapat bahawa membuat kenderaan yang jauh lebih mampu milik akan sangat masuk akal dan kami harus melakukan sesuatu.”

Walau bagaimanapun, Tesla masih belum membentangkan rancangan untuk pembuatan dan perolehan tempatan dari India. Syarikat itu sedang berbincang dengan kerajaan India untuk mengurangkan cukai import ke atas kenderaan elektrik sebelum ia memasuki pasaran.

Memberi maklum balas ke atas rancangan Musk, kerajaan India masih bertegas kepada Tesla bahawa Tesla harus menghasilkan kenderaan di India.

India mengenakan duti 100 peratus ke atas kereta yang diimport sepenuhnya dengan nilai Kos, Insurans dan Pengangkutan (CIF) lebih AS$40,000 (RM16,000) serta 60 peratus ke atas kereta dengan nilai CIF kurang.

Laporan sebelum ini mendakwa Musk mahu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Narendra Modi untuk melobi pemotongan duti import. Sebaliknya, kerajaan tidak bercadang untuk menawarkan sebarang faedah cukai kepada pembuat kereta EV kerana ia boleh mengecewakan pembuat kereta lain.

Google ads
Back to top button