Buletin

FERRARI SF90 SPIDER MENDARAT DI PASARAN MALAYSIA. KUASA MAKSIMUM 1000PS, HARGA BERMULA RM2 JUTA

Naza Italia memperkenalkan jentera baharu SF90 Spider yang merupakan versi spider SF90 Stradale secara digital baru-baru ini.

Ferrari SF90 Spider merupakan model pertama jenama itu dilengkapi bumbung boleh lipat (retractable hard top- RHT) hibrid ditawarkan pada harga bermula RM 2,088,000.

Ia turut didatangkan bersama program penyelenggaraan selama tujuh tahun dengan servis berjadual.

Supercar terbaharu itu mendapat inspirasi secara prinsipal dengan pembangunan model SF90 Stradale yang menekankan rekaan inovatif dan futuristik.

SF90 Spider memiliki rekaan mirip SF90 Stradale pada bahagian sisi, depan dan belakang terutama apabila menggunakan RHT.  

Begitupun, jentera itu mempunyai daya tarikan dinamik yang unik apabila bahagian bumbung diturunkan menjadi convertible.

Sentuhan moden dan radikal dapat diperlihatkan pada bahagian badan jentera ini.

Ia hadir dengan lampu tirus LED Matrix, tip ekzos berkembar dan lampu belakang moden.

SF90 Spider dilengkapi rim 20-inci dibaluti tayar 255/35 di depan dan 315/30 di belakang menyerlahkan lagi sisi sporty jentera hibrid ini.

Selain itu, kokpit jentera terbaharu itu dialihkan ke hadapan sedikit untuk memberi keselesaan kepada pemanduan.

Bumbung pula adalah 20 mm lebih rendah, tiang A lebih kecil dan cermin hadapan kelihatan lebih tajam dalam memberi kelainan kepada supercar tersebut.

Ruang dalaman hadir dengan HMI (human-machine interface) bagi kluster instrumen digital definisi tinggi 16 inci baharu.

Kawalan tradisional yang masih dikekalkan dalam kabin ini termasuk roda stereng, kawalan lampu, wiper, indikator dan Manettino bagi mod pemanduan.

Model SF90 Spider mendapat khidmat enjin V8 turbo berkembar ICE dengan kemampuan 780 PS (760 HP).

Sebagai jentera hibrid, ia dilengkapi tiga motor elektrik Motor Generator Unit Kinetic (MGUK) yang menggunakan teknologi Formula 1.

Dua motor elektrik berkenaan berada di bahagian hadapan manakala satu lagi di belakang yang mampu menghasilkan 220 PS.

Gandingan teknologi terkini itu memastikan jentera terbaharu ini mampu menjana kuasa maksimum mencecah sehingga 1,000 PS dan tork 800 Nm dengan transmisi 8 kelajuan dual clutch automatik.

Ia hadir dengan bateri lithium ion bersaiz 7.9 kWh, hanya cukup untuk jarak sejauh 26 km jika mahu menggunakan elektrik sepenuhnya.

Model terbaharu ini merupakan jentera sport Ferrari pertama dilengkapi pacuan empat roda (4WD) yang mampu mencatat pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.5 saat dan 0-200 km/j pula hanya 7 saat.

Selain itu, ia didatangkan dengan empat mod pemanduan iaitu eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.

Bagi memastikan kesinambungan prestasi dinamik dan cengkaman lebih baik, ia dilengkapi sistem Electronic Side Slip Control (eSSC)torque vectoringElectric Traction Control (eTC) dan rotation axis control – electric (RAC-e).

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi Ferrari Malaysia Showroom ataupun layari laman Facebook http://www.facebook.com/ferrari.nazaitalia.

GALERI:

Google ads
Back to top button