Buletin

RUNTUHAN BONGKAH BATU JALAN RAUB-BUKIT FRASER TUTUP

Jalan Raub-Bukit Fraser, kira-kira 165 kilometer dari Kuantan, Pahang ditutup sepenuhnya ekoran kejadian runtuhan bongkah batu yang dipercayai berlaku pada 5.50 pagi tadi. 

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Shahrulnizam Nasir berkata bongkah batu itu menghalang sepenuhnya laluan tersebut.  

“Kejadian mungkin disebabkan faktor hujan sejak tiga hari lalu. Malah, sebelum kejadian pagi tadi beberapa insiden pokok tumbang dilaporkan berlaku di lokasi sama sebelum ini,” katanya.

Shahrulnizam berkata beliau difahamkan Jabatan Kerja Raya sedang membuat penilaian mengenai kaedah terbaik untuk mengalihkan bongkah batu tersebut memandangkan saiz yang terlalu besar dan tidak boleh diangkat menggunakan jentera biasa.

Susulan penutupan laluan itu, mereka yang ingin ke destinasi pelancongan Bukit Fraser perlu menggunakan jalan alternatif buat masa ini, iaitu melalui  Kuala Kubu Bharu, Selangor. – Bernama/FB Balai Bomba dan Penyelamat Raub

Google ads
Back to top button