Buletin

FORD BRONCO 2021 LEBIH MANTAP DAN RUGGED

Akhirnya terjawab mengenai model terbaharu Ford Bronco 2021. Jentera yang meraih banyak perhatian dengan khabar angin, ketirisan gambar, penukaran tarikh pelancaran dan lain-lain kini kembali selepas 25 tahun ‘mendiamkan’ diri dalam industri automotif.

Model terbaharu rugged off-road ini hadir dengan varian dua pintu dan empat pintu. Selain itu, terdapat model yang lebih kecil berbanding model terbaharu ini iaitu Bronco Sport.  

Ford berkata Bronco terbaharu ini direka sepenuhnya untuk memberi fungsi terbaik kepada pembeli, ia bukan dibangunkan atas dasar fesyen.

Selama beberapa tahun, syarikat telah ‘menyelinap’ masuk dalam forum-forum untuk mengetahui apa dimahukan pelanggan-pelanggan pada Bronco sebagai persediaan menjadikan jentera ini yang terbaik dalam segmen ‘rugged utility’.

Kedua gaya badan Ford Bronco baharu ini menampilkan segmen eksklusif rekaan pintu tanpa bingkai.

Bahkan, bagi versi empat pintu yang lebih panjang, pembeli boleh menyimpan pintu berkenaan menggunakan beg perlindungan disediakan dalam jentera berkenaan.

Masih mengekalkan rekaan kabin diinspirasikan daripada Ford Bronco terdahulu, kluster meter dan kawalan mudah untuk dilihat serta dicapai. Ia juga dilengkapi penggunaan bahan kalis air pada papan pemuka dan upholesteri.

Sistem infotainment menampilkan unit SYNC4, skrin sentuh 12 inci dengan ciri navigasi off-road, sokongan kamera 360 darjah dan kemas kini over-the-air.

Bagi memudahkan pemanduan, ia turut dilengkapi Terrain Management System dengan tujuh mod G.O.A.T untuk dipilih termasuk Normal, Eco, Sport, Slippery, Sand, Baja, Mud/Ruts, dan RockCrawl.

Bronco menawarkan  jarak kelegaan tanah yang terbaik di dalam kelasnya, iaitu 294 mm dengan keupayaan meredah kedalaman air 851 mm, diikuti sudut breakover 29 darjah dan sudut departure 37.2 darjah. 

Ia menawarkan dua versi enjin EcoBoost iaitu enjin asas empat silinder 2.3 liter  yang mampu menjana 270 hp dan tork 420 Nm manakala satu lagi enjin ialah V6 2.7 liter yang menghasilkan 310 hp dan tork 542 Nm. 

Bagi sistem transmisi, Bronco didatangkan dengan pilihan manual tujuh kelajuan serta menampilkan ciri gear merangkak (crawler) bagi model empat silinder atau automatik 10 kelajuan yang memacu sistem pacuan semua roda 4×4. 

Pelanggan boleh memilih dua sistem 4×4, versi asas dengan ciri shift-on-the-fly transfer case dua kelajuan elektronik manakala sistem lebih canggih didatangkan dengan elektromekanikal pacuan 4H automatik on-demand.

Jentera ini turut didatangkan dengan teknologi Trail Toolbox yang membantu pengembaraan pemanduan off-road. Ia termasuk Trail Control, Trail Turn Assist dan Trail One-Pedal Drive.

Sistem suspensi pula adalah jenis bebas di hadapan dengan komponen Dana AdvanTEK, dan suspensi jenis coil spring dengan rekaan gandar solid Dana 44 AdvanTEK. 

Ford Bronco menawarkan tujuh trim yang termasuk Base, Big Bend, Black Diamond, Outer Banks, Wildtrak, Badlands dan First Edition yang dihadkan kepada 3,500 unit. 

Produksi jentera terbaharu ini akan bermula pada awal tahun 2021. Ia akan dijual bermula pada harga $29,995 (kira-kira RM128,000).-carscoops.

GALERI

Google ads
Back to top button