Buletin

FORD DAN MAHINDRA BATALKAN KERJASAMA. EKONOMI GLOBAL SUDAH BERUBAH AKIBAT COVID-19

Ford Motor Co. pada minggu lalu membatalkan kerjasama dengan Mahindra and Mahindra Ltd. dari India berikutan cabaran yang dilalui akibat pandemik COVID-19. 

Dalam kenyataan media berasingan, kedua-dua buah syarikat tersebut menegaskan keputusan tersebut diambil kerana perubahan ekonomi global sejak 15 bulan lalu. Ini membuatkan mereka terpaksa menilai semula keutamaan modal masing-masing. 

Tarikh akhir untuk memuktamadkan kerjasama ialah pada 31 Disember 2020. Namun, Ford dan Mahindra mengambil pendekatan untuk menamatkan terus rundingan.

Pada Oktober 2019, Ford dan Mahindra menyatakan mahu membentuk kerjasama di India dalam usaha mengurangkan kos dan menghasilkan kenderaan untuk pasaran-pasaran membangun. 

Pada masa itu, mereka merancang untuk melancarkan tiga model SUV dan membangunkan kenderaan elektrik. Ford bagaimanapun memaklumkan operasinya di India masih ada. 

Tekanan untuk membentuk pakatan atau penggabungan dalam industri automotif kian meningkat kerana kos membangunkan kereta elektrik semakin tinggi.

Sebagai contoh, PSA dan Fiat Chrysler Automobile NV dijangka memuktamadkan penggabungan bernilai AS38 bilion (RM153 bilion) pada suku pertama tahun 2021. 

Eksekutif kanan Ford sering menegaskan bahawa kerjasama dengan pengeluar lain adalah satu cara untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos. Ditanya sama ada Ford ingin mencari rakan kerjasama di Asia Tenggara, Ford mengakui strategi itu akan diteruskan. 

Mahindra pula menyatakan keputusan berkenaan tidak memberi sebarang impak kepada pelan produknya iaitu mempercepatkan usaha membangunkan SUV elektrik. – Reuters  

Google ads
Back to top button