Buletin

FORD F-SERIES, HONDA CIVIC PALING DIGEMARI PENCURI DI AS

Tidak semua kenderaan menarik minat penyamun untuk mencuri jentera berkenaan. Para penyamun ini memiliki cita rasa tersendiri dalam melakukan aktiviti jenayah.

Menurut Biro Jenayah Insurans Kebangsaan (NICB), mereka gemar mencuri pikap Ford dan Honda Civic kompak.

Sepanjang tahun 2019, sebanyak 47,859 kecurian dilaporkan di seluruh Amerika Syarikat melibatkan model tahun 2018.

Dalam laporan Hot Wheels berdasarkan data Pusat Informasi Jenayah Kebangsaan, model paling banyak dicuri merupakan Ford F-Series tahun 2006 dan Honda Civic (2000).

Selain dua kenderaan terbabit , antara model popular menjadi barang panas pencuri merupakan Chevrolet Silverado, Honda Accord, Toyota Camry, Nissan Altima, Toyota Corolla, Dodge dan trak Ram serta GMC Sierra.

Bagi SUV pula, hanya satu model tersenarai dalam carta 10 terbaik iaitu Honda CR-V. Ia mencatatkan 10,094 kecurian pada tahun 2019 dan model tahun 2001 paling popular.

NICB menggariskan empat panduan kepada para pemilik kenderaan dalam membendung kecurian iaitu guna akal fikiran, jangan meninggalkan kunci  di dalam kereta, kunci kereta, dan tutup tingkap.

Selain itu, mereka juga dinasihatkan parkir kenderaan di kawasan selamat terutama apabila ia dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Sebagai langkah lapisan kedua, NICB menyarankan agar menggunakan peranti amaran keselamatan untuk perlindungan daripada pencuri.

Langkah terakhir pula, pemilik kenderaan boleh mempertimbangkan pengguna peranti menjejak kenderaan terutama di era teknologi terkini. – agensi

Google ads
Back to top button