Buletin

FORD FIESTA ST EDITION, 1.5L TURBO TORK 290NM!

Ford Fiesta bukan nama asing buat pengguna tempatan. Fiesta generasi keenam dijual di negara kita dan model pengganti diperkenalkan pada 2016 dan tidak ditawarkan di pasaran tempatan.

Tidak sekadar menjual model kebanyakan, Ford turut menawarkan varian berprestasi Fiesta ST untuk pelanggan yang mahukan lebih kuasa. 

Kini ada satu lagi varian istimewa iaitu Fiesta ST Edition dengan pengeluaran terhad sebanyak 500 unit untuk Eropah dan 300 daripadanya dikhususkan buat pasaran United Kingdom.

Varian ini istimewa dengan suspensi boleh laras untuk pengendalian di jalan raya dan litar selain kelengkapan penggayaan khusus.

Rangkaian kuasa dan mod pemanduan

Enjin 1.5 liter EcoBoost yang menggerakkan Fiesta ST Edition mempunyai output 200PS pada 6,000rpm dan tork 290Nm dari 1,600rpm hingga 4,000rpm. Pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 6.5 saat manakala kelajuan maksimum ialah 230 km/j.

Enjin pengecas turbo tiga silinder itu menggunakan sistem pancitan jenis liang (port) dan terus (direct) selain teknologi nyahaktif silinder untuk penjimatan bahan bakar.

Dari segi pemanduan, ada tiga mod iaitu Normal, Sport dan Track dengan pilihan Track boleh diaktifkan melalui butang khas pada stereng.

Pemanduan dan pengendalian

Suspensi boleh laras dua hala (two-way) yang dipasang mempunyai perumah peredam (damper housing) tiub berkembar keluli tahan karat dan gegelung (spring) dengan penyalutan serbuk (powder coating) dalam warna Ford Performance Blue.

Ketinggian kereta direndahkan sebanyak 15mm di depan dan 10mm di belakang dan boleh dilaras. 

Diuji dan dibangunkan secara ekstensif di Nürburgring Nordschleife oleh Ford Performance, penalaan Fiesta ST Edition diperhalusi bagi mengoptimumkan keseimbangan dan pengawalan melalui selekoh dan memberi peluang kepada pemandu untuk menyesuaikan larasan suspensi mengikut gaya pemanduan dan persekitaran mereka.

Lagi ciri suspensi Fiesta ST Edition ialah pengesetan 12 bump iaitu darjah pergerakan redaman ke atas apabila tayar melalui alunan di jalan raya dan 16 pengesetan lantunan (rebound) iaitu kepantasan apabila peredam kembali ke posisi selepas pergerakan ke atas seterusnya meletakkan pemandu dalam kawalan semasa melalui selekoh.

Roda aloi 18 inci Ford Performance pula lebih ringan hampir dua kilogram setiap satu berbanding roda aloi Fiesta ST standard. Roda yang lebih ringan itu turut membantu dalam mempertingkatkan sentuhan tayar dengan jalan untuk lebih cengkaman dan respon. 

Turut memainkan peranan dalam melalui selekoh dan cengkaman bahagian depan ialah pembeza gelincir terhad atau LSD dari Quaife dan bersama teknologi Torque Vectoring Control meningkatkan tahap cengkaman dan mengurangkan pembelokan kurang (understeer).

Ford turut menawarkan fungsi Launch Control dan tiga mod kawalan penstabilan elektronik dijadikan ciri standard.

Selain itu, karakter sporti ditingkatkan dengan sendi buku stereng (steering knuckle) reka bentuk khas, kalibrasi EPAS dengan nisbah stereng 12:1 dan brek cakera saiz 278mm di depan dan 253mm di belakang.

Gayaan dan warna khas

Fiesta ST Edition hanya ditawarkan dalam varian tiga pintu dan warna eksklusif Azura Blue. Warna itu dikontra dengan hitam kilauan tinggi pada gril atas, bumbung, roda aloi dan beberapa komponen lain.

Bahagian dalam dihiasi kemasan ala gentian karbon pada sekeliling paparan meter dan saluran udara serta riasan papan pemuka.  

Stereng jenis rata bawah (flat-bottomed), tombol gear dan brek tangan dibalut kulit dengan sulaman biru yang turut dikenakan pada alas lantai ST, tali pinggang keledar dan kerusi sport Recaro yang mempunyai fungsi pemanas.

Seperti yang dimaklumkan di atas, 300 unit terhad Ford Fiesta ST Edition ditawarkan kepada pengguna UK dan dijual pada harga £27,075 (RM146,248).

BACA: FORD PUMA ST – 1.5L TURBO 3 SILINDER 200PS, 320 NM!

BACA: FORD BRONCO SASQUATCH KINI ADA 7 GEAR MANUAL!

BACA: FORD RANGER TREMOR – SUSPENSI FOX, ENJIN 2.3L ECOBOOST

Google ads
Back to top button