
COVID-19: AIRASIA TUTUP OPERASI DI JEPUN
AirAsia Group Bhd. mengumumkan penutupan operasi AirAsia Japan Co. Ltd. untuk mengurangkan beban kewangan syarikat dan kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, keputusan itu diambil berikutan situasi operasi yang amat mencabar di Jepun yang semakin teruk oleh pandemik Covid-19.
Kumpulan itu mempunyai 66.91 peratus kepentingan ekuiti dalam AirAsia Japan dengan hak mengundi sebanyak 33 peratus.
Pengarah Perwakilan dan Ketua Pegawai Operasi AirAsia Japan, Jun Aida, berkata di sebalik usaha berterusan mengekalkan operasi melalui inisiatif pengurangan kos, syarikat memutuskan bahawa ia amat mencabar dalam meneruskan operasi tanpa sebarang kepastian mengenai pemulihan selepas pandemik.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada pelanggan kami yang setia dan pihak berkepentingan yang telah menyokong kami selama ini.
“Keputusan sukar untuk menghentikan operasi ini diambil bukan secara tergesa-gesa atau diambil ringan. Ia telah dipersetujui selepas melakukan kajian perniagaan secara menyeluruh.
“Langkah lanjut kepada keputusan ini akan dibuat mengikut undang-undang dan peraturan termasuk Akta Aeronautik Awam Jepun,” katanya.
Beliau menambah semua penerbangan telah dibatalkan dan pelanggan terjejas akan dihubungi melalui e-mel dengan maklumat lanjut dalam masa tujuh hari akan datang.
AirAsia Japan berkata penutupan itu hanya menjejaskan penerbangan domestik dan antarabangsa yang dikendalikan oleh AirAsia Japan di Jepun dengan kod surat DJ.
Ia tidak menjejaskan penerbangan lain ke dan keluar dari Jepun yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan lain dalam Kumpulan AirAsia.
“Perkhidmatan antarabangsa ke Jepun, dari Malaysia, Thailand dan Filipina akan disambung semula pada masa depan selepas sekatan perjalanan ditarik balik dan sempadan dengan Jepun dibuka semula,” katanya.
Sejak penubuhannya pada Julai 2014, syarikat itu berkata pihaknya telah menjalankan penerbangan domestik dan antarabangsa dari pangkalannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Chubu Centrair.
“Sekatan perjalanan dan keadaan yang tidak menentu menjejaskan permintaan untuk perjalanan perniagaan dan percutian menyebabkan pengurangan dan pembatalan penerbangan.
“Faktor ini telah memberi impak kepada keupayaan syarikat untuk terus beroperasi,” katanya. – Bernama
- BACA: SYARIKAT PENERBANGAN TERBESAR AMERIKA LATIN MUFLIS. TANGGUNG HUTANG RM78.4 BILION
- BACA: TIKET PENERBANGAN TANPA HALA TUJU QANTAS SOLD OUT DALAM TEMPOH 10 MINIT!!!
- BACA: PENDAPATAN SEKTOR PENERBANGAN MALAYSIA DIJANGKA SUSUT SEHINGGA RM19 BILION
- BACA: TIGERAIR UMUM GULUNG TIKAR SELEPAS 13 TAHUN BEROPERASI