Motosikal

HLYM LANCAR YAMAHA TRACER 9 GT. 2 PILIHAN WARNA,HARGA BERMULA RM69,498 SEUNIT

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan jentera terbaharu Yamaha Tracer 9 GT Sports Touring di pasaran tempatan.

Yamaha Tracer 9 GT ditawarkan pada harga bermula RM69,498 seunit tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.

Ia menawarkan dua warna pilihan iaitu hitam/perak (Icon Performance) dan merah (Redline).

Jentera itu dilengkapi lampu utama LED, lampu isyarat LED generasi baharu dan signatur lampu belakang Tracer menyerlahkan lagi sisi dinamik dan sporti motosikal berkenaan.

Selain itu, motosikal terbaharu tersebut turut didatangkan fairing hadapan aerodinamik, cermin penghadang angin boleh laras lebih besar untuk melindungi penunggang dan grip tunggangan lebih selesa.

Yamaha Tracer 9 GT menawarkan tempat duduk utama boleh laras dengan dua mod untuk keselesaan penunggang dan skrin paparan TFT berkembar 3.5 inci.

Model terbaharu itu mendapat khidmat enjin tiga silinder sebaris 889 cc yang mampu menjana 117 hp @ 10,000 rpm dan tork 93.0 Nm @ 7,000 rpm.

Bahkan, enjin diperbaharui berkenaan lebih ringan,berkuasa serta pantas berbanding model Tracer 900 GT terdahulu.

Tracer 9 GT  didatangkan sistem kawalan IMU 6-axis merangkumi tiga komponen iaitu sistem kawalan cengkaman (TCS), sistem kawalan gelinciran (SCS) dan sistem kawalan LIFt tayar depan (LIF).

Gabungan tiga sistem tersebut dapat membantu dalam memastikan tunggangan lebih padu ketika mengharungi pelbagai permukaan jalan dan cuaca.

Ciri sistem suspensi elektronik Yamaha dan KYB mampu menyumbang kepada penstabilan motosikal malah memberi prestasi tinggi dan perjalanan selesa.  

Yamaha Tracer 9 GT boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha Big Bike bermula 25 November ini.

Setiap pembelian jentera terbaharu itu bakal menerima kunci brek cakera manakala 300 pembeli pertama akan mendapat kantung kunci khas Big Bike yang dibikin Royal Selangor.

Google ads
Back to top button