Motosikal

HAFIZH SAH SERTAI NTS RW RACING GP UNTUK MUSIM 2021!

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin akan meneruskan kariernya dalam saingan Moto2 selepas disahkan bakal menyertai pasukan NTS RW Racing GP untuk musim 2021.

Hafizh akan bergandingan dengan rakan sepasukan, Barry Baltus berusia 16 tahun dari Belgium. 

Sebelum ini, masa depan Hafizh dalam Moto2 dilihat kabur apabila pasukan Aspar Team Moto2 tidak menyambung kontraknya bagi musim 2021. Pasukan itu memilih pelumba Moto3, Albert Arenas untuk menggantikan Hafizh. 

“Kami gembira dan bangga untuk mendapatkan khidmat Hafizh. Dia bukan sahaja seorang pelumba berpengalaman dan berbakat, malah cukup baik. Kami semakin bagus setiap minggu dan berusaha keras untuk membangunkan jentera. 

“Input dan maklum balas daripada penunggang seperti Hafizh amat penting dalam proses ini,” kata Pengurus Pasukan NTS RW Racing GP, Jarno Janssen. 

Hafiz yang berusia 26 tahun juga dikatakan sangat gembira dengan kontrak baharunya itu. “Saya bersyukur kerana boleh kekal dalam saingan Moto2 dan menyertai pasukan NTS RW Racing GP. Saya tahu usaha untuk membangunkan sebuah jentera lumba bukanlah sedikit, tetapi saya yakin dengan projek ini. 

“Dalam masa yang singkat, NTS telah banyak meningkatkan jentera mereka. Saya harap dengan pengalaman dan maklum balas yang diberikan, kami boleh maju ke hadapan. Saya yakin kami boleh melakukan yang terbaik bersama-sama. 

“Saya akui tidak berada dalam prestasi terbaik pada musim ini. Sebab itulah saya sangat gembira dan berterima kasih atas keyakinan yang diberikan oleh NTS RW Racing GP kepada saya,” kata Hafizh. 

NTS RW Racing GP akan memulakan musim baharu 2021 dengan satu ujian khas pada 26 dan 27 November depan di litar Jerez. – Superbike News UK

Google ads
Back to top button