Buletin

GEELY BIN RUI – SESUAI UNTUK PROTON PERSONA BAHARU?

Setakat ini sudah dua kali wakil kami ke China melawat kilang Geely. Setakat ini juga tiada rungutan atau kritikan yang dibincangkan melainkan pujian dan kekaguman terhadap Geely.

Geely telah berusaha bersungguh-sungguh dan kini berada di tempat ketiga di China dari segi jualan mengalahkan jenama lain dari Jepun seperti Honda, Nissan dan Toyota.

Memandangkan Geely dan Proton kini berada di bawah satu bumbung, tidak dapat tidak untuk tertanya apakah strategi penjenamaan dan penawaran produk kedua-duanya?

Adakah Proton hanya akan menjenamakan semula produk Geely seperti Bo Yue atau berkongsi platform seperti Kumpulan Volkswagen?

Sama ada Geely atau Proton, kedua-duanya masih senyap tentang perancangan model masa depan.

Namun sesuatu yang menarik ialah Geely sebenarnya mempunyai pelbagai model dan platform diperlukan Proton.

Terbaru Geely Auto pada 30 Ogos lalu di Pameran Kenderaan Chengdu 2018 melancarkan model Bin Rui.

Istimewa tentang Bin Rui ini ialah ia berada dalam segmen sedan A+ dengan konsep berorientasi sport. Senang kata, Bin Rui berada dalam segmen sama seperti Proton Persona.

Walaupun dalam segmen A+, kelengkapan Bin Rui langsung tidak mencerminkan kereta ‘bajet’ atau murah. Geely melengkapi Bin Rui dengan pelbagai ciri-ciri canggih dan moden.

Berikut ialah ciri-ciri Geely Bin Rui:

  • Menggunakan konsep reka bentuk “The Aesthetics of Racing through Space and Time”
  • Reka bentuk ala fastback yang sporti dan trend terkini
  • Dibekalkan dengan dua pilihan enjin dan tiga transmisi iaitu G-Power 200T dengan enam kelajuan DCT, G-Power 14T dengan lapan kelajuan CVT dan G-Power 14T dengan enam kelajuan manual
  • Enjin G-Power 200T bersesaran 1.0 liter turbo dengan suntikan terus – 134 hp dengan tork 205 Nm
  • Enjin G-Power 14T bersesaran 1.4 liter turbo – 131 hp dengan tork 215 Nm
  • Transmisi klac berkembar enam kelajuan dibekalkan oleh Getrag
  • Dilengkapi dengan 14 teknologi bantuan pemanduan canggih. Teknologi pemanduan autonominya kini pada tahap L2
  • Di antara teknologi canggih tersebut ialah Intelligent Cruise Control (ICC) yang mengandungi Adaptive Cruise Control (ACC), Traffic Jam Assistance (TJA) dan Lane Keep Assistance (LKA)
  • Teknologi ini membolehkan kereta menukar laluan dan mengikuti kereta di hadapan pada kelajuan sehingga 150 km/j
  • Teknologi Intelligent High-beam Control (IHBC) pula boleh melaras lampu puncak secara automatik apabila berselisih dengan kereta di laluan bertentangan
  • Sistem Speed Limit Identification (SLIF) pula menggunakan dua kamera dan data navigasi untuk mengenal pasti had laju dan memaklumkan kepada pemandu
  • Sistem Automatic Emergency Braking with Pedestrian Identification (AEB-P) pula mampu mengecam pejalan kaki melebihi 80 cm dan mengesan potensi kemalangan lebih daripada dua saat awal dan mengenakan brek semasa kelajaun di bawah 40 km/j
  • Sistem keselamatan aktif dan pasif direka bagi mencapai skor 5 bintang NCAP global
  • Lebih 70 peratus badan kereta diperbuat dari besi ketegangan tinggi (High-strength steel)
  • Ada enam beg udara, ESP Bosch generasi kesembilan, Hill Climbing Assistance (HHC ), Traction Control System (TCS) dan Autohold Automated Park Assist

 

Berkenaan nama model pula, ia bukan suka-suka dipilih walaupun berbunyi janggal di telinga rakyat tempatan. Ini adalah model pertama dalam siri produk Bin dan Bin Rui direka khusus untuk pelanggan muda.

Model ini juga adalah untuk pasaran global di mana Geely merancangnya untuk bersaing dengan model segmen A+ terbaik dunia serta menetapkan aras baharu dalam pasaran.

Geely Bin Rui akan dipasarkan di China terlebih dahulu sebelum memasuki pasaran global lain. Persoalannya sekarang, adakah ini bakal menjadi model pengganti Persona pada masa depan?

Google ads
Back to top button