Buletin

GEELY ICON. MILD HYBRID. CATAT TEMPAHAN 30K SEBELUM PELANCARAN

Geely Auto semalam secara rasmi melancarkan SUV kompak terbaharunya, Geely ICON. Pelancaran yang dilakukan secara dalam talian itu ditonton oleh jutaan pengguna di China.

Model yang ditunggu ramai itu mencatat lebih 30,000 tempahan dalam masa beberapa jam sahaja.

Model itu mengekalkan reka bentuk minimalis analog Concept ICON yang pernah dipamerkan pada acara Beijing Auto Show 2018. Lari daripada trend rekaan SUV sekarang, ICON merupakan hasil input daripada lima pusat reka bentuk Geely di seluruh dunia.

Bahagian luarannya direka oleh studio rekaan Geely California. Manakala ruang kabin mendapat sentuhan studio rekaan Geely Barcelona, sebelum disempurnakan di studio Geely di Shanghai.

Rekaan minimalis boleh dilihatpada susunan lampu utama infinity loop yang cukup nipis. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan lampu sehingga 30 peratus, malah memanjangkan jara penglihatan jalan sehingga 165 meter.

Walaupun minimalis, ICON tidak kedekut dari segi teknologi. Hendal pintu akan terkeluar apabila pemandu mendekat dan masuk kembali selepas dia berjalan pergi. Rekaan itu membolehkan ICON mempunyai imej visual yang kemas.  

Di ruang kabin, rekaan minimalis analog memberikannya rasa futuristik. Simbol masa digunakan sekali lagi pada konsol tengah dan corong pendingin hawa. Dua unit skrin interaktif bersaiz 10.25 inci untuk fungsi panel maklumat dan infohibur mendominasi ruang papan pemuka.

Menerusi skrin dan peranti mudah alih, pengguna boleh berinteraksi dengan ICON dan berhubung melalui ekosistem pintar GKUI Geely.

ICON menjadi model pertama dalam segmennya yang menggunakan teknologi mild hybrid 48V. Sistem hibrid (13.4hp) itu dipadankan dengan enjin 1.5 turbo berkuasa 175hp dan tork 225Nm.

Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan. Gabungan tersebut menawarkan penjimatan bahan api mencecah 5.7l/100km.

ICON dilengkapi pelbagai teknologi seperti pemanduan pintar L2+ yang terdiri daripada 12 radar ultrasonik, radar gelombang milimeter dan lima unit kamera berdefinisi tinggi.

Ia juga hadir dengan kawalan jelajah pintar ICC, Lane Keeping Assist, brek kecemasan automatik, pengecaman pejalan kaki, parkir automatic dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, ICON bukan sahaja tampil dengan kamera 360° dari luar kereta, malah pemandu boleh melihat pandangan 180° dari arah sisi, depan atau belakang. Maksudnya, tidak langsung titik buta.

Sebagai respons kepada wabak COVID-19, Geely Auto membangunkan sistem pembersihan udara pintar (IAPS) yang menerima penarafan N95. Sistem itu berfungsi selari dengan pendingin hawa untuk menghapuskan virus dan bakteria dalam udara kabin.

GALERI

Google ads
Back to top button