Buletin

HARLEY-DAVIDSON LANCAR MODEL EL DIABLO EDISI TERHAD. 1,500 UNIT SAHAJA. SISTEM AUDIO, 81HP, BERMULA RM125K

Harley-Davidson melancarkan Koleksi Ikon edisi terhadnya dengan menampilkan semula reka bentuk model klasik menerusi Electra Glide Revival. Kini, syarikat berkenaan memperkenalkan model kedua dalam koleksi tersebut iaitu Low Rider El Diablo yang terhad kepada 1,500 unit sahaja.

Low Rider El Diablo dibina berdasarkan kepada model Low Rider ST yang meniru gayaan jentera FXRT 1983.

Apa yang menjadikan model edisi terhad itu lebih istimewa ialah skema cat terperinci yang digunakan oleh tukang cat di Gunslinger Custom Paint di Golden, Colorado. Lapisan El Diablo Bright Red, Bright Red Sunglo, El Diablo Dark Red, Dark Red Pearl dan El Diablo Dark Red Metallic memberikan motosikal itu warna yang sangat menyerlah.

Seperti Low Rider ST standard, El Diablo menampilkan beg pelana kulit yang boleh dikunci dengan gabungan kapasiti penyimpanan sehingga 53.8 liter, fork terbalik 43mm dengan brek hadapan dwi cakera dan tayar Michelin Scorcher. Kawalan jelajah dan sistem ABS didatangkan sebagai ciri standard.

Sistem audio yang dipasang dari kilang bersesuaian dengan fairing dan direka untuk menawarkan bunyi berkualiti. Penunggang boleh menyambungkan audio ke peranti mudah alih untuk menikmati bunyi daripada woofer bersaiz 5.25 inci dan amplifier 250 watt. Sistem itu juga mempunyai Kawalan Kelantangan Automatik yang melaras kekuatan bunyi berdasarkan kepada kelajuan.

El Diablo yang dibina di atas casis Softail Harley-Davidson menggunakan enjin Milwaukee-Eight 117 V-Twin bersama ekzos 2-into-2 offset shotgun. Enjin tersebut mampu menjana kuasa mencecah 81hp dan tork 177Nm.

Low Rider El Diablo akan berada di pasaran Amerika Syarikat pada musim luruh pada harga AS$27,999 (RM125,500), AS$6,000 (RM26,904) lebih mahal berbanding LR-ST standard.

GALERI:

Google ads
Back to top button